BSN dekati Orang Asli galak simpan wang dengan betul - Utusan Malaysia

BSN dekati Orang Asli galak simpan wang dengan betul

AWANG Adek Hussin (kanan) mencuba perkhidmatan perbankan yang ditawarkan oleh Ejen Bank BSN di Lemal, Pasir Mas, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Bank Simpanan Nasional (BSN) akan terus mendekati masyarakat Orang Asli dalam usaha menarik lebih ramai golongan itu menyimpan wang dengan keadaan yang betul menerusi institusi perbankan.

Pengerusinya Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, usaha itu telah digerakan oleh BSN menerusi kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Bila kita (BSN) masuk ke kawasan Orang Asli, mereka (Orang Asli) memberikan kerjasama baik dan menunjukkan minat yang tinggi untuk menyimpan wang.

“Kebanyakan mereka sudah mendapat maklumat, namun tidak didedahkan dengan cara perbankan yang betul. Jadi kita akan terus membantu mereka (Orang Asli,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan sempena ulang tahun BSN ke-50 ke Ejen Bank BSN Sinaran Mentari, Lemal di sini kelmarin.

Awang Adek memberitahu, usaha itu selari dengan kerajaan mahu seluruh rakyat menikmati kemudahan perbankan yang sempurna.

Katanya, sebagai bank kerajaan BSN menyahut seruan tersebut dan menyasarkan 98 peratus kawasan di negara ini terdedah dengan kemudahan itu.

“Setakat ini 95 peratus kawasan di Malaysia sudah mempunyai perkhidmatan ejen bank, cawangan dan mesin juruwang automatik (ATM),” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Awang Adek berkata, Kelantan akan mempunyai perkhidmatan BSN bergerak tidak lama lagi.

Katanya, perkhidmatan bergerak itu akan menjelajah ke seluruh pelusuk negeri bagi memberi kemudahan kepada masyarakat khusnya di pedalaman.

“Semua urusan perbankan boleh dilakukan di 300 cawangan BSN dan lebih 2,000 ejen BSN yang boleh dipercayai di seluruh negara,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN