JOHOR BAHRU: Pasukan siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) negeri ini mengesan suatu kandungan bahan kimia dalam Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan, di sini yang disyaki menjadi punca pencemaran bau di kawasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, pihaknya telah mengambil sampel air dan tanah di sungai tersebut untuk dianalisis bagi mengetahui bahan kimia tersebut.
”Menerusi siasatan awal, pihak bomba mendapati di sini (Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan) merupakan tempat disyaki pencemaran berlaku berdasarkan bau yang lebih kuat dan pekat. Analisis daripada sampel awal yang telah diambil menunjukkan bacaan pH normal, tetapi terdapat satu kandungan bahan kimia yang belum dapat dikenal pasti.
“Justeru, kita sedang menunggu Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Melaka untuk membantu menjalankan siasatan lebih lanjut,” katanya ditemui selepas meninjau Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan, di sini hari ini.
Tian Soon berkata, persampelan kali kedua itu bagi mengetahui kandungan dan jenis kimia tersebut, seterusnya mengesan dari mana punca bahan kimia itu dan hasil keputusan akan diketahui hari ini.
Setelah keputusan itu diperoleh, Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri ini akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kilang-kilang berdekatan sungai tersebut.
“Setakat ini, pencemaran udara itu turut meliputi tiga kawasan sekitar Taman Daya, Taman Mount Austin dan Taman Istimewa.
Penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan memakai pelitup muka dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami sebarang masalah kesihatan. – UTUSAN