PETALING JAYA: Polis menemukan elemen pengabaian dan penganiayaan terhadap kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global dan dikaitkan dengan syarikat Global Ikhwan & Services Berhad Holdings (GISBH) di Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai 384 kanak-kanak yang diselamatkan dalam serbuan tersebut sudah selesai menjalani saringan kesihatan.
Katanya, hasil saringan tersebut mendapati terdapat ciri-ciri pengabaian dan penganiayaan kepada mereka.
“Polis juga sudah merakam percakapan seramai 483 orang sehingga kelmarin membabitkan pengadu, saksi, mangsa dan juga suspek.
“Berkaitan kes liwat ia masih dalam siasatan dan akan dijelaskan kemudian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Razarudin berkata, pihaknya akan melengkapkan proses siasatan dalam masa terdekat berkaitan kes tersebut.
“Dalam masa sama kita sedang mengenal pasti dan mengesan ibu bapa semua kanak-kanak tersebut untuk dipanggil memberi keterangan,” katanya.
Ditanya berhubung kenyataan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat GISB Holdings (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd. Ali yang mengakui terdapat beberapa kes liwat berlaku membabitkan individu dalam organisasi berkenaan, Razarudin berkata, fokus utama adalah menyelesaikan siasatan yang dijalankan ketika ini.
“Kita akan selesaikan siasatan yang berlangsung ketika ini dahulu, apabila sudah selesai baru kita akan fikirkan (panggil pihak berkaitan untuk bantu siasatan),” katanya. – UTUSAN