Beri ruang, masa siasat GISB - Utusan Malaysia

Beri ruang, masa siasat GISB

SAIFUDDIN Nasution Ismail (belakang, enam dari kiri) bersama pasukan Inspirasi Malaysia (I'M) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Aris Bendahara, Kluang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Rakyat diminta memberi masa serta ruang kepada pihak berkuasa menyiasat dakwaan salah laku syarikat GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH)

Menteri Dalan Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes ini akan memakan masa lama kerana membabitkan ramai mangsa yang juga kanak-kanak.

“Kita gesa masyarakat supaya bertenang dan ikuti sumber paling berautoriti dalam kes ini. Hampir setiap hari juga Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain buat kenyataan.

“Sudah tentu tempoh diperlukan kerana angka tangkapan itu besar dan bukan sahaja babitkan PDRM tetapi ia babitkan pihak lain dalam siasatan iaitu ahli piskologi, kaunseling dan pegawai perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Inspirasi Malaysia bersama Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Aris Bendahara di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, tempoh ujian saringan fizikal dan mental yang dijalankan ke atas kanak-kanak terbabit, akan mengambil masa kira-kira 10 hari.

“Saringan akan memakan masa yang lama kerana kanak-kanak terbabit berusia seawal setahun sehingga 17 tahun. Insya-Allah tempoh masa yang akan diambil 10 hari,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap ibu bapa yang didapati tidak memberikan pendidikan wajib sekolah rendah kepada anak-anak mereka.

Ujarnya, tindakan itu juga boleh dikenakan kepada ibu bapa kanak-kanak rumah amal yang diserbu pihak berkuasa di Selangor dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Sebelum itu, media melaporkan GISBH disiasat pihak berkuasa berhubung kes eksploitasi kanak-kanak dan syarikat berkenaan menafikan tuduhan berkenaan.

Dalam kenyataannya, GISB berkata syarikat itu menafikan segala tuduhan dilemparkan kepadanya sambil menegaskan ia tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti melanggar undang-undang khususnya membabitkan kanak-kanak sebagai pekerja.

GISB dipalit kontroversi selepas 20 premis yang dikaitkan dengan syarikat itu sebagai pusat jagaan dan rumah amal kendaliannya diserbu polis pada Rabu lalu.

Dalam serbuan terbabit, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun selain menahan 171 individu yang mengendalikan premis diserbu untuk siasatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN