Bengkel kimpalan curi air diserbu - Utusan Malaysia

Bengkel kimpalan curi air diserbu

AINAL Yusman Mohamad Yusof (dua dari kiri) melihat tapak sambungan bekalan air tidak sah ketika operasi dijalankan di sebuah premis bengkel kimpalan di Jalan Ulu Beranang, Lenggeng, Seremban hari ini.- UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah premis bengkel kimpalan di Jalan Ulu Beranang, Lenggeng, di sini dikesan mencuri air bersih terawat untuk digunakan bagi premis berkenaan sejak dua tahun yang lalu.

Perbuatan itu terbongkar apabila premis itu diserbu pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) tengah hari tadi susulan risikan yang telah dibuat selama sebulan dibuat.

Pengarah Unit Penguatkuasa Bahagian Penguatkuasaan SPAN, Ainal Yusman Mohamad Yusof berkata, dalam operasi penguatkuasaan yang dilakukan, pihaknya mendapati terdapat satu sambungan dengan menggunakan paip HDPE berukuran 25 milimeter (mm) secara terus kepada paip utama SAINS.

“Sambungan yang disyaki tidak sah ini telah menyalurkan bekalan air ke dalam premis yang dipercayai digunakan untuk tujuan aktiviti harian mereka. Ketika serbuan yang dilakukan penguat kuasa tidak menemui pemilik tetapi premis ini telah dijaga oleh sebuah syarikat keselamatan.

“Siasatan rekod mendapati premis ini mempunyai akaun bekalan air yang sah berdaftar dengan Sains tetapi bekalan airnya telah dipotong akibat tunggakan pembayaran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ainal Yusman berkata, perbuatan pemilik premis itu telah menyebabkan implikasi kerugian dialami terhadap Sains adalah berjumlah RM30,000.

“Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Seksyen 89 (9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) iaitu jika bekalan air ke mana-mana premis telah dipotong oleh pemegang lesen pengagihan air dan didapati bahawa bekalan itu telah disambungkan semula tanpa kebenaran pemegang lesen pengagihan air itu, maka seseorang itu dianggap telah melakukan suatu kesalahan.

“Jika disabitkan tertuduh, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

“Operasi penguatkuasaan SPAN ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran awam tentang kesalahan kecurian air dan penyambungan tidak sah sebagai salah satu usaha bagi mencegah kegiatan tidak bertanggungjawab ini, ” katanya yang memberitahu pemilik premis berkenaan sedang dikesan untuk tindakan lanjut.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya