Belanjawan 2025: Mohd. Na'im yakin Anwar tambah peruntukan untuk syiar Islam

Belanjawan 2025: Mohd. Na’im yakin Anwar tambah peruntukan untuk syiar Islam

MOHD. Na’im Mokhtar (tiga kanan) menyerahkan sumbangan wakaf kepada pembinaan Masjid Saidina Umar Al-Khattab Kampung Telokong, Kuala Krai, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yakin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menambah peruntukan untuk syiar Islam semasa pembentangan Belanjawan 2025 nanti.

Menterinya Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, Perdana Menteri seorang pemimpin yang sangat prihatin dengan perkembangan Islam termasuk para hafiz dan huffaz al-Quran.

“Dari segi jumlah kita serahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk membuat keputusan,” katanya kepada pemberita pada Program Santuni Komuniti Madani Bersama Masyarakat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab Kampung Telokong, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im memberitahu, pihaknya sudah mengadakan libat urus dengan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bagi membincangkan perkara tersebut.

Katanya, beliau berharap peruntukan tambahan dapat diberikan kepada syiar Islam pada tahun hadapan.

Media sebelum ini melaporkan, sebanyak RM1.9 bilion diperuntukkan bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam dalam Belanjawan 2024 Malaysia MADANI.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ia termasuk pembinaan dua institusi pendidikan Islam iaitu Kompleks Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Bukit Jalil dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jempol di Negeri Sembilan dengan kos RM220 juta.

Beliau berkata sejumlah RM150 juta turut disediakan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan Islam antaranya sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN