Belanjawan 2025: Mindef harap peruntukan pertahanan ditambah

Belanjawan 2025: Mindef harap peruntukan pertahanan ditambah

ADLY Zahari (tengah) menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah kepada anggota veteran pada Majlis Pelancaran Program Veteran Desa Madani Peringkat Negeri Kelantan di SK Sri Rantau Panjang 2, Rantau Panjang, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Kementerian Pertahanan (Mindef) berharap kerajaan dapat menambah peruntukan untuk pertahanan menerusi Belanjawan 2025 bagi memastikan keselamatan negara berada pada tahap terbaik.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, pertambahan itu membolehkan Mindef melaksanakan beberapa perancangan yang telah dibuat termasuk pembelian aset ketenteraan, penambahbaikan perkhidmatan dan keperluan-keperluan anggota tentera.

“Saya harap ia diberikan keutamaan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan.

“Semua sudah kita sampaikan dan saya rasa proses libat urus sudah dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Veteran Desa Madani Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang, di sini hari ini.

Untuk rekod, pada Belanjawan 2024 Mindef telah menerima peruntukan sebanyak RM19.7 bilion, melibatkan peningkatan RM2 bilion berbanding belanjawan sebelumnya dan menepati keperluan Mindef dalam meningkatkan keupayaan pasukan pertahanan.

Dalam perkembangan lain, Adly memberitahu, Program Veteran Dasar Madani merupakan satu inisiatif Mindef untuk memperceparkan pertemuan dengam anggota veteran di kawasan luar bandar.

Katanya, melalui program itu Mindef dapat memaklumkan kepada veteran secara langsung mengenai insentif serta inisiatif kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

“Ia merangkumi lima fokus utama iaitu kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan dan pemerkasaan Program Usahawan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PUVET ATM).

“Dalam pertemuan langsung bersama, veteran tadi turut disampaikan kepada saya adalah berkaitan balu angkatan tentera yang sesetengahnya tidak mengemaskini maklumat, menyebabkan bantuan yang diterima sebelum ini terputus,” ujarnya.

Adly berkata, Beliau berharap melalui Program Veteran Desa Madani lebih banyak kesedaran boleh diberikan kepada anggota veteran, balu serta waris dan dalam masa yang sama dapat mencapai hasrat Mindef untuk membawa veteran keluar dari garis kemiskinan menjelang tahun depan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN