Bekas pengetua asrama didakwa salah guna wang lebih RM43,000 - Utusan Malaysia

Bekas pengetua asrama didakwa salah guna wang lebih RM43,000

MOHD. BAHARUDIN Admin, dihadapkan ke mahkamah atas empat pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM43,098.20 berkaitan lebihan tuntutan bayaran daripada JKM Johor tiga tahun lalu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang bekas Pengetua Asrama Akhlak Lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas empat pertuduhan menyalahgunakan wang sebanyak RM43,098.20 berkaitan lebihan tuntutan bayaran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Baharudin Admin, 45, turut berdepan empat pertuduhan pilihan memalsukan dokumen senarai Daftar Kehadiran Harian Tahanan Sementara (TS) Asrama Akhlak Lelaki Kempas kepada JKM Johor pada tahun sama.

Walau bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Dia didakwa menyalahgunakan wang sebanyak RM15,718.20, RM4,500, RM9,380 dan RM13,500 yang merupakan lebihan tuntutan bayaran syarikat Hikmat Warisan kepada JKM Johor menerusi akaun miliknya daripada Mohd. Ashaari Masiran, 39, di sebuah bank di Jalan Padi Emas 6/1, Pusat Bandar Tampoi, Johor Bahru antara 6 Januari hingga 25 September 2021.

Dia didakwa di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kertas pertuduhan pilihan, dia didakwa menggunakan satu dokumen palsu melibatkan Senarai Daftar Kehadiran Harian Tahanan Sementara (TS), Asrama Akhlak Lelaki Kempas bagi bulan Julai, Ogos, September dan Oktober 2021 di JKM Johor,  Wisma Persekutuan, Jalan Ayer Molek, Johor Bahru antara Julai hingga Oktober 2021.

Dia didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd. Yasri Yahya mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 kepada tertuduh.

Namun  peguam bela tertuduh, Khairul Azwad Sariman meminta jaminan dikurangkan tidak lebih RM10,000 kerana tertuduh menanggung seorang isteri yang merupakan suri rumah dan lima anak kecil yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerah pasport ke mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Johor sebulan sekali serta menetapkan 24 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN