Bekas pengarah syarikat hartanah bebas 3 tuduhan menipu wang RM5 juta - Utusan Malaysia

Bekas pengarah syarikat hartanah bebas 3 tuduhan menipu wang RM5 juta

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan seorang bekas pengarah syarikat hartanah dari tiga pertuduhan termasuk menipu sebuah syarikat pinjaman wang berlesen melibatkan wang RM5 juta, tujuh tahun lalu.

Hakim Kamarudin Kamsun memutuskan demikian terhadap Teoh Soo Beng, 58, pada akhir kes pendakwaan tanpa memanggilnya membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan.

Beliau berpuas hati bahawa pertuduhan yang dikenakan adalah cacat dan memprejudiskan tertuduh kerana keterangan menunjukkan hanya kira-kira RM3.5 juta dipinjamkan kepadanya, bukan RM5 juta.

“Wang RM5 juta itu termasuk sebahagian dari wang pinjaman kali pertama sebanyak RM1.5 Juta yang telah diselesaikan sepenuhnya menerusi pinjaman kedua (RM5 juta).

“Keterangan ini memecahkan dasar pembuktian jumlah RM5 Juta itu sendiri sebagai tidak benar dan tidak tepat,” ujar Kamarudin dalam penghakiman bertulis bertarikh 16 Mei 2024 yang diperoleh pihak media dari laman web mahkamah, hari ini.

Pendakwa raya bagaimanapun mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, Soo Beng didakwa menipu syarikat pinjaman wang berlesen itu untuk mendapatkan pinjaman RM5 juta dengan menandatangani perjanjian bertarikh 25 Mei 2017 dan penyerahan hak empat unit rumahnya sebagai sandaran.

Empat unit rumah itu terletak di Jalan Seri Tanjung Pinang, Pulau Pinang dikatakan akan menjadi cagaran sepanjang tempoh pinjaman itu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Soo Beng didakwa melakukan pecah amanah dengan menjual rumah-rumah tersebut dan melanggar perjanjian pinjaman wang serta perjanjian penyerahan hak dengan syarikat tersebut.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan dan dihukum mengikut Seksyen 406 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau sebat atau kedua dua sekali, jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Selvadurai Off Jalan Sultan Azlan Shah di sini di antara Mei 2017 dan September 2019.

Soo Beng turut didakwa atas satu pertuduhan pilihan iaitu menyalahgunakan empat unit rumah yang telah dijadikan cagaran dengan syarikat itu di antara Mei 2017 dan September 2019 di Persiaran Gurney, Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan atau tidak melebihi lima tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Naratif pendakwaan menyatakan, tertuduh sebelum itu pernah menandatangai satu perjanjian pinjaman bertarikh 3 Januari 2017 dan mencagarkan dua buah hartanya untuk pinjaman wang sebanyak RM1.5 juta.

Sekitar Mei 2017, tertuduh datang semula ke syarikat berkenaan bagi mendapatkan pinjaman RM5 juta dengan mencagarkan empat buah pangsapuri sebagai sandaran dan menandatangani perjanjian pada 25 Mei 2017.

Keterangan kes turut menyatakan, antara syarat pinjaman menghendaki tertuduh membayar kesemua jumlah pinjaman tersebut beserta faedahnya dalam tempoh enam bulan dari tarikh perjanjian ditandatangani dan jumlah faedah yang telah ditetapkan sebanyak RM300,000.

Tertuduh seterusnya membayar faedah pinjaman RM300,000 menerusi cek bertarikh 29 Mei 2017 dan diterima oleh syarikat berkenaan.

Dalam proses perjanjian pinjaman kedua, tertuduh telah menandatangani satu surat yang membenarkan syarikat itu menolak sejumlah RM1.5 juta dari jumlah RM5 juta tersebut dan mengesahkan dia hanya akan menerima wang sejumlah RM3.5 Juta sahaja.

Dalam pada itu, syarikat berkenaan mendapati empat harta yang dicagarkan sebagai sandaran itu telah dijual oleh tertuduh tanpa pengetahuan syarikat semenjak bulan November 2018. Laporan polis kemudian dibuat terhadapnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN