Bekas pekerja kilang terpilih jadi perajurit muda terbaik - Utusan Malaysia

Bekas pekerja kilang terpilih jadi perajurit muda terbaik

MOHAMED Khaled Nordin (kanan) menyampaikan Anugerah Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik kepada Perajurit Muda Ahmad Hasnain Makhluf Azizul Hakim pafa Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 200/2024 di Padang Kawad Pusasda, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Tahap dedikasi dan kepemimpinan yang tinggi serta kesungguhan yang ditampilkan sepanjang latihan membolehkan seorang bekas pekerja kilang dipilih sebagai Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik pada Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 200/2024 di Padang Kawad, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini.

Perajurit Muda Ahmad Hasnain Makhluf Azizul Hakim, 24, yang berasal dari Seremban itu berkata, keputusannya untuk menyertai pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibuat selepas memikirkan kembali saranan arwah datuknya yang merupakan seorang pesara askar Melayu.

“Arwah datuk selalu minta saya untuk masuk sebagai askar tetapi saya degil, lama kelamaan selepas empat tahun bekerja di kilang, barulah saya terfikir katanya.

“Kemudian, saya fikir masak-masak dan buat keputusan masuk tentera. Alhamdulilah saya terpilih dan saya tidak menyangka turut merangkul anugerah perajurit muda terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir sempena majlis berkenaan ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Pada majlis berkenaan, seramai 1,144 Perajurit Muda berjaya menamatkan latihan yang dilaksanakan bermula 8 Mac lalu.

Anugerah Perajurit Muda Akademik Terbaik pula telah dianugerahkan kepada Muhammad Fazreen Hashim, 24 yang berasal dari Kluang, Johor manakala Perajurit Muda Kecergasan Jasmani Terbaik telah dianugerahkan kepada Esthen Alvin Yap, 20 dari Kuching, Sarawak.

Sementara itu, Perajurit Muda Kawad Terbaik pula telah dianugerahkan kepada Mohamad Syafiq Syahmi Mohd Khairul, 19, yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor manakala Perajurit Muda Ketenteraan Terbaik dianugerahkan kepada Muhammad Rozairi Mohd. Rafi, 25, yang berasal dari Ipoh, Perak.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya