Bekas jaga mengaku OKU didakwa rogol, samun anak saudara - Utusan Malaysia

Bekas jaga mengaku OKU didakwa rogol, samun anak saudara

BEKAS pengawal keselamatan yang mengaku OKU diiringi polis ketika didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol dan menyamun anak saudaranya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang bekas pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan merogol anak saudaranya, bulan lalu.

Tertuduh berusia 31 tahun yang mendakwa berstatus orang kurang upaya (OKU) mental membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rasidah Roslee.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol anak saudaranya berusia 33 tahun kira-kira pukul 4.30 pagi di dalam bilik di sebuah rumah di Taman Cempaka  di sini, 26 Ogos lalu di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan sehingga 10 kali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta tiga syarat tambahan, iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta  menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memaklumkan tidak mempunyai penjamin dan memohon untuk merujuk kepada pakar psikiatri memandangkan mempunyai rawatan susulan terhadap kesihatan mentalnya.

Rasidah tidak menetapkan sebarang jaminan terhadap tertuduh sehingga sebutan semula kes pada 25 September ini bagi menyemak semula status OKU seperti yang didakwa tertuduh.

“Saya minta pegawai penyiasat kes mengemukakan semua dokumen berkaitan status OKU tertuduh termasuk kad OKU dan kad temu janji rawatan kesihatan mental pada tarikh yang akan datang dan akan menetapkan jumlah jaminan sekiranya tertuduh sudah mempunyai penjamin,” katanya.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, dia turut didakwa melakukan rompakan wang tunai RM40, SG$20 dan telefon bimbit milik anak saudaranya itu di lokasi, masa dan hari yang sama.

Bagi pertuduhan itu, dia turut mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Hazelia Mohammad.

Dia didakwa di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang sama seperti pertuduhan kes rogol dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan tiga syarat tambahan itu serta turut menetapkan 25 September ini untuk sebutan semula bagi lantikan peguam bela dan laporan kesihatan mental OKU tertuduh dikemukakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya