Bekas guru dakwa laluan ke ladang sawit miliknya di Kampung Kawah terhalang - Utusan Malaysia

Bekas guru dakwa laluan ke ladang sawit miliknya di Kampung Kawah terhalang

TIMBUNAN tanah didakwa menghalang laluan masuk ke ladang sawit seorang bekas guru di Kampung Kawah di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang bekas guru mendakwa akses atau laluan masuk ke ladang sawit miliknya terhalang apabila ditambun tanah setinggi empat meter oleh seorang lelaki dipercayai peneroka tanah haram di Kampung Kawah di sini semalam.

Pemilk kebun sawit terbabit, Rahmat Mohammed berkata, dia dilantik dan diberikan kuasa oleh ahli keluarganya untuk mengurus ladang sawit seluas 0.8224 hektar di kampung berkenaan.

Menurutnya, dia diberikan tanggungjawab menyelenggara kerja-kerja mengambil buah, memungut hasil tanaman, mengangkut, menjual, membaja dan juga membersihkan pokok sawit di tanah hak milik berkenaan.

“Semalam, pada pukul 5.30 petang, saya dapati akses jalan masuk ke kebun saya ditambun dengan tanah setinggi empat meter menggunakan jentera berat yang dilakukan oleh seorang lelaki.

“Lelaki terbabit memberi alasan tidak munasabah bahawa tidak mahu sesiapa boleh masuk ke kawasannya di sebelah tanah hak milik saya yang beliau ceroboh dengan tanaman kelapa sawit.

“Difahamkan, beliau tidak berpuas hati dengan tindakan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang menyita kawasan penerokaan haram dilakukannya atas tanah kerajaan,” dakwanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rahmat mendakwa, perbuatan lelaki itu yang membuat peraturan sendiri dengan menambun tanah dilakukan dengan sengaja bertujuan menimbulkan provokasi.

Menurutnya, tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki berkenaan, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan hari ini.

“Tujuan laporan ini untuk meminta pihak polis mengambil tindakan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama kerana melakukan khianat harta benda persendirian,” katanya.

Jelasnya lagi, beliau juga melantik Haslihelmy DM Zulhasli sebagai pengurus untuk membuka semula laluan yang disekat tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN