Bayi lahir 2024 dijangka hidup sehingga 75.2 tahun - Utusan Malaysia

Bayi lahir 2024 dijangka hidup sehingga 75.2 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bayi yang lahir pada 2024 dijangka hidup sehingga 75.2 tahun, manakala bayi perempuan hidup 4.8 tahun lebih lama berbanding bayi lelaki.

Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, secara purata, seorang bayi perempuan dijangka boleh hidup sehingga 77.8 tahun iaitu 4.8 tahun lebih lama berbanding bayi lelaki pada 73.0 tahun.

Beliau berkata, jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut negeri bagi 2022 hingga 2024 dicatat di Selangor, manakala Terengganu mencatat jangkaan hayat ketika lahir terendah bagi tempoh sama.

“Selangor, Wilayah Persekutuan Labuan dan Kuala Lumpur mempunyai jangkaan hayat melebihi jangkaan hayat paras nasional pada 2024,” katanya dalam kenyataan bersempena penerbitan Jadual Hayat Ringkas Malaysia 2022-2024.

Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, lelaki yang mencapai umur 15 dan 60 tahun pada 2024 masing-masing dijangka hidup selama 58.8 tahun dan 18.6 tahun lagi bersamaan umur 73.8 dan 78.6 tahun.

“Sebaliknya, wanita dalam kumpulan umur sama dijangka hidup selama 63.4 tahun dan 21.4 tahun lagi dengan jangka hayat masing-masing 78.4 dan 81.4 tahun,” katanya.

ETNIK

Katanya, etnik Cina terus mencatat jangka hayat lahir tertinggi pada 2024 iaitu 77.1 tahun, manakala jangka hayat lahir terendah etnik India iaitu 71.7 tahun pada tahun sama.

“Di peringkat negeri, Labuan mencatat jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi etnik Bumiputera, Cina dan India kecuali Melayu berbanding negeri lain pada 2024,” katanya.

JANGKA HAYAT LAHIR IKUT DAERAH

Katanya, jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut daerah pentadbiran pada tahun 2024 dicatatkan di Petaling, Selangor (80.2 tahun) manakala Samarahan, Sarawak mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi tahun 2023 (79.6 tahun) dan 2022 (79.5 tahun).

Jelasnya, Kuala Penyu, Sabah mencatat jangkaan hayat ketika lahir terendah bagi lelaki dan perempuan bagi tempoh 2022-2024, justeru, secara keseluruhan, 31 daripada 156 daerah melepasi jangka hayat di peringkat nasional.

“Jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki adalah di Samarahan, Sarawak (79.6 tahun) dan perempuan di Petaling, Selangor (82.1 tahun),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN