Bayi berusia 30 hari meninggal dunia bukan tersedak susu-bapa

Bayi berusia 30 hari meninggal dunia bukan tersedak susu-bapa

YAP Pei Yin (kiri) kelihat sugul selepas melihat Dr. Hafidzah Mustakim (tengah) menenangkan ibunya yang menangis terkenangkan nasib Jyn Hern  yang meninggal dunia kelmarin.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bapa kepada bayi berusia 30 hari mendakwa anaknya meninggal dunia bukan akibat tersedak susu sebaliknya dikasari oleh jururawat semasa berada di sebuah pusat jagaan berpantang di sini kelmarin.

Choo Kamin, 30, berkata, kisah sebenar itu terbongkar selepas dia melihat sendiri perlakuan jururawat berkenaan menerusi rakaman televisyen tertutup (CCTV) yang dipasang di premis berkenaan.

“Difahamkan, anak kami (Choo Jyn Hern) tidak menyusu dan tidur bersama jururawat tersebut di atas sofa di dalam sebuah bilik di pusat jagaan itu pada malam kejadian.

“Ketika itu, saya dan isteri sedang tidur di bilik sebelah sebelum dimaklumkan jururawat tersebut bahawa anak kami tidak sedarkan diri pada waktu pagi,” katanya ketika ditemui pemberita ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim melawat rumah keluarganya di Taman Desa Kujid, Panji di sini hari ini.

Kamin memberitahu, dia yang membawa anaknya itu ke sebuah hospital swasta di sini amat terkilan selepas dimaklumkan bahawa bayi itu meninggal kerana tersedak susu.

Katanya, sehubungan itu, dia dan keluarganya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pusat jagaan tersebut secepat mungkin.

“Lebih menyedihkan, Jyn Hern meninggal dunia pada hari lahir isteri saya yang ke-29 pada 9 September lalu.

“Kami membawa anak kami ke pusat jagaan pada hari ketiga kelahirannya. Jyn Hern sepatutnya keluar dari pusat jagaan itu dan pulang ke rumah semalam iaitu sehari sebelum kejadian,” katanya.

Sementara itu, Yap Pei Yin berkata, emosi dan perasaannya masih tidak stabil selepas anaknya itu meninggal dunia.

Katanya, dia tidak boleh menerima kematian anaknya dengan sekelip mata malah tidak sempat memberi susu badan kepadanya sepanjang dia hidup.

“Saya minta polis menjalankan siasatan dengan telus dan menghukum jururawat terbabit,”katanya.

Utusan Online semalam seorang bayi lelaki yang baru berusia 30 hari meninggal dunia selepas diberi susu oleh seorang jururawat yang ditugaskan menjaga bayi berkenaan di sebuah pusat jagaan berpantang di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, bayi tersebut disahkan meninggal dunia semasa dibawa untuk rawatan di sebuah hospital swasta di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, suspek yang berusia 22 tahun dan masih bujang telah ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam.

Jururawat itu kemudian direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes pengabaian sehingga menyebabkan kematian bayi tersebut.

Perintah tahanan reman bermula hari ini sehingga Selasa depan terhadap wanita itu dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN