Bawa masuk warga asing: 37 lagi penguat kuasa ditahan, jumpa wang tunai lebih RM1 juta - Utusan Malaysia

Bawa masuk warga asing: 37 lagi penguat kuasa ditahan, jumpa wang tunai lebih RM1 juta

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Seramai 37 lagi pegawai agensi penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara dengan kaedah kaunter khas.

Penahanan kesemua mereka dilakukan menerusi Op Pump 2.0 yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, menerusi operasi ini, wang tunai keseluruhannya berjumlah lebih RM1 juta iaitu turut ditemukan.

Kata beliau, lebih RM500,000 ditemukan daripada seorang suspek yang ditahan di Pahang selain
RM200,000 (Selangor) ; RM170,000 (Johor) serta RM100,000 (Negeri Sembilan).

Kata beliau, wang tunai ini dipercayai diperoleh hasil daripada rasuah yang diterima daripada sindiket yang membawa masuk warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) dan Terminal 2 (KLIA2).

“SPRM juga turut menyita barangan kemas termasuk jongkong emas dan dinar emas, pelbagai jam tangan berjenama, kereta dan motorsikal selain telefon bimbit pelbagai jenama.

“Mereka yang ditahan ini membabitkan 27 lelaki dan 10 wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an yang kini disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, SPRM juga turut menyita barangan kemas termasuk jongkong emas dan dinar emas.

“Turut diramapas iaitu pelbagai jam tangan berjenama, kereta dan motorsikal selain telefon bimbit pelbagai jenama,” jelasnya.

Sementara itu, di Putrajaya, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin telah membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman sembilan pegawai penguat kuasa membabitkan lima lelaki dan empat wanita selama lima hari sehingga 17 September ini.

Manakala, di Selangor, Majistret Nur Syuhada Abdullah membenarkan lapan pegawai penguat kuasa lelaki dan tiga pegawai penguat kuasa wanita direman selama lima hari sehingga 17 September ini selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Di Negeri Sembilan, seramai tujuh pegawai penguat kuasa lelaki direman selama tujuh hari sehingga 19 September ini selepas permohonon dibuat SPRM dihadapan Majistret Syed Farid Syed Ali di Mahkamah Majistret Seremban.

Selain di Melaka, tiga pegawai penguat kuasa lelaki dan seorang pegawai penguat kuasa wanita direman juga selama lima hari sehingga 17 September ini selepas permohonan dibenarkan oleh Majistret Nabila Nizam di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Bagi Kuala Lumpur, Majistret Haneefa Ariffin membenarkan tiga penguat kuasa lelaki direman selama enam hari sehingga 18 September ini.

Tiga lagi pegawai penguat kuasa membabitkan dua wanita dan seorang lelaki dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka selesai dirakamkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN