JOHOR BAHRU: Penduduk-penduduk di tiga kawasan perumahan di Tebrau, di sini terganggu dengan bau bahan kimia sejak tengah malam tadi hingga ia menimbulkan kegusaran.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri memaklumkan antara kawasan yang terlibat adalah Taman Daya, Mount Austin dan Taman Istimewa.
Beliau berkata, antara panggilan kecemasan terawal diterima pada pukul 1.30 awal pagi daripada penduduk di Jalan Sagu, Taman Daya.
Dua jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama-sama 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau dan Larkin dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pada ketika ini, pihak bomba masih belum dapat mengenal pasti punca, jenis dan tahap bahayanya. Pemantauan sedang dijalankan selain bacaan udara menggunakan pengesan gas oleh unit Hazmat. Punca bau itu sama ada dari sungai berhampiran juga masih belum dipastikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, penduduk, Norhayuda Ahmad, 26, mendakwa menghidu bau tersebut yang kuat antara pukul 12 tengah malam hingga 2 pagi.
Menurutnya, pencemaran bau yang berlaku kali pertama itu menimbulkan kebimbangan keluarganya sehingga terpaksa menghantar ibunya ke rumah kakaknya di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.
“Bau itu amat menusuk, menyebabkan rasa pening. Saya bimbang keadaan ibu yang menghidap asma. Bau semakin kurang selepas pukul 2 pagi namun sehingga kini kami tidak mengetahui puncanya. Kami berharap pihak berkuasa segera mengenal pasti punca pencemaran itu berlaku dan mengambil tindakan sesuai supaya ia tidak berulang,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Roslan Basiran, 40, dan ahli keluarganya mengalami batuk-batuk selepas terhidu bau seakan-akan bahan kimia.
“Sebelum ini, saya pernah mendengar aduan penduduk Pasir Gudang berkaitan pencemaran udara, namun kini ia berlaku di kawasan perumahan ini. Diharap ia tidak berulang kerana boleh menjejaskan kesihatan orang ramai,” katanya. – UTUSAN