PORT DICKSON: Seorang bapa empat anak tidak pernah berputus asa untuk menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran selepas mendapat keputusan kurang memuaskan dalam akademik.
Khairul Najib Mohamad Shoib, 41, berkata, sebaik mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia memilih untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 hingga Tahap 3 selain kini memiliki sijil kompetensi untuk Jurutera Elektrik dan pendawaian Fasa Tunggal.
“Keputusan akademik saya tidak berapa baik jadi saya pilih langkah yang lain dengan ambil bidang kemahiran. Kemudian, saya cuba mohon ambil (lanjutkan pelajaran) diploma berdasarkan sijil kemahiran dan pengalaman kerja saya.
“Saya akhirnya mendapat tawaran untuk belajar secara sambilan di Politeknik Port Dickson pada usia 35 tahun. Saya mahu jadi contoh kepada anak-anak saya dan golongan yang sudah bekerja bahawa mereka juga boleh berjaya dan cemerlang dalam industri.
“Pendidikan di politeknik dan juga kolej vokasional juga sangat bagus untuk memenuhi keperluan industri terutamanya dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET),” katanya yang berasal dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Dia ditemui bersama isterinya Rahifah Ramjani, 41, pada Majlis Konvokesyen Politeknik Port Dickson (PPD) Kali ke-31 Tahun 2024, di sini, hari ini.
Seramai 1,817 orang graduan dari empat jabatan iaitu Jabatan Perdagangan, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Awam dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal menerima diploma yang disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sirim Bhd. merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri Politeknik Port Dickson, Datuk Ir. Dr Ahmad Sabirin Datuk Arshad pagi tadi.
Ujar Khairul Najib lagi, beliau kini akan terus menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi dan diploma yang diperoleh itu akan digunakan untuk memohon menduduki peperiksaan dengan Suruhanjaya Tenaga untuk mendapatkan tahap penyelia elektik yang kompeten.
Sementara itu, Ahmad Sabirin berkata, Politeknik dan Kolej Komuniti dilihat sebagai pembekal TVET terbesar negara dengan enrolmen semasa hampir 100,000 ribu pelajar menjadi pemegang mandat utama dalam ikhtiar membentuk serta melahirkan bakat terbaik negara.
Menurutnya, statistik kadar kebolehpasaran graduan Politeknik dan Kolej Komuniti 2023 mencatat kebolehpasaran tertinggi iaitu melebihi 97 peratus dan hampir 30,000 pelajar baharu Sesi I 2024/2025 mendaftar di Politeknik dan Kolej Komuniti di seluruh Malaysia.
“Jumlah tersebut merupakan catatan sejarah terbesar pengambilan pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti pada tahun ini,” katanya.-UTUSAN.