Bayi lapan disumbat botol susu, ditekup dengan bantal hingga maut

Bayi lapan bulan maut disumbat botol susu, ditekup dengan bantal

ALLAHYARHAM Muhammad Al Fateh Amri meninggal dunia di sebuah taska di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kejam dan tidak berperikemanusiaan. Itu istilah tepat yang boleh menggambarkan perbuatan seorang pengasuh yang didakwa membedung, menyumbat botol susu, menutup dengan kain dan menekup menggunakan bantal terhadap seorang bayi berusia lapan bulan, sehingga maut hari ini.

Menurut bapa mangsa, Mejar Mohd. Fikry Amri Abdul Halim, 39, perbuatan itu dilihatnya sendiri dilakukan pengasuh itu terhadap Allahyarham anak lelakinya, Muhammad Al Fateh Amri melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taman asuhan kanak-kanak (taska) berkenaan.

MOHD. FIKRY AMRI Abdul Halim ditemui di Unit Forensik Hospital Alor Gajah, Melaka.

Katanya, amat menyayat hati apabila anak sulung yang dikurniakan Ilahi selepas hampir 13 tahun menanti, meninggal dunia akibat perbuatan tidak bertanggungjawab sedemikian, hanya selepas lima hari Al Fateh dihantar ke taska yang beroperasi di Taman Kelemak Utama di sini.

“Pihak taska hubungi isteri saya, Sabrina Hakiem Zaini, 39, pukul 9 pagi tadi beritahu Al Fateh tidak sedarkan diri dan mukanya biru. Kemudian saya yang bertugas di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur terus bergegas pulang ke Melaka.

“Kami baru hantar Al Fateh ke taska selama lima hari, isteri saya ambil cuti tanpa gaji selama setahun. Bila tempoh itu hampir habis, jadi kami cuba hantarnya kepada pengasuh.

“Kami tunggu kelahiran Al-Fateh selama 13 tahun, saya boleh terima kalau dia meninggal dunia kerana tersedak susu atau terjatuh kerana ia di luar kawalan. Tetapi apabila saya tengok sendiri CCTV, saya memang tidak percaya benda ini dibuat sendiri oleh pengasuh,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Alor Gajah, hari ini.

Tambah Mohd. Fikry Amri, pengasuh berusia 34 tahun itu dipercayai bertindak sedemikian pada pukul 8 pagi dan langsung tidak mengakui perbuatannya, sebelum pemeriksaan CCTV dilakukan bersama pihak polis.

Ujarnya, polis memaklumkan bahawa taska terlibat beroperasi tanpa lesen sejak empat tahun lalu.

“Kejadian itu dilakukan suspek kira-kira pukul 8 pagi. Selepas sejam taska telefon isteri saya, waktu ambil Al Fateh sudah dalam keadaan terkulai tidak sedarkan diri, mulutnya berdarah serta muka biru,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN