KANGAR: Dalam membantu meringankan bebanan mangsa-mangsa banjir, UMNO Bahagian Kangar turun padang sepanjang beberapa hari banjir di negeri ini bagi mengagihkan bantuan kepada mangsa terjejas.
Sebanyak 234 keluarga yang terjejas sekitar kawasan ini telah disalurkan bantuan awal.
Ketuanya, Datuk Dr. Fatul Bari Mat Jahya berkata, bantuan berkenaan disalurkan buat mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sena dan penduduk yang tidak berpindah walaupun terjejas dengan bencana itu.
Beliau berkata, semua bantuan berkenaan berbentuk bakul makanan dan keperluan asas itu disalurkan mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
“Kita berharap dengan bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan ditanggung oleh semua mangsa terlibat,” katanya selepas meninjau keadaan empat keluarga mangsa yang masih ditempatkan di PPS SK Sena di sini hari ini.
Beberapa kawasan sekitar Perlis sebelum ini dilaporkan terjejas berikutan keadaan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu ekoran musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut (MTL).
Antara kawasan yang dilaporkan terjejas adalah Kampung Titi Besi, Kampung Kubang Gajah, Kampung Alor Setar, Jelempok, Kampung Kota Keran, Kampung Bakau, Kampung Seberang Tambang, Kampung Tebing Tinggi dan beberapa lagi.
Mengulas lanjut, Fathul Bari berkata, pihaknya berharap agar mana-mana mangsa yang berdepan musibah lain dapat membuat laporan segera kepada pihak berwajib.
“Seperti kita tahu, banjir kali ini datang dengan ribut, jadi ada rumah yang bumbungnya terbang, maka mangsa boleh membuat laporan polis dan menghantar maklumat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Pihak JKM akan membuat penilaian berapa kos baik pulih, malah kita juga ada agensi seperti Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Baitulmal yang boleh memberi bantuan,” katanya.
Dalam pada itu, Fathul Bari berkata, pihaknya juga berbesar hati di atas sumbangan peribadi disalurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) kepada mangsa banjir di negeri ini.
Katanya, UMNO Bahagian Kangar juga akan membantu semampu boleh bagi meringankan bebanan ditanggung oleh semua mangsa terlibat.
“Terima kasih juga diucapkan atas tindakan pantas oleh JKM Perlis, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membantu menyediakan penempatan serta kemudahan buat mangsa,” katanya.-UTUSAN