Banjir: Sesi persekolahan penggal kedua guna kaedah PdPR - KPM - Utusan Malaysia

Banjir: Sesi persekolahan penggal kedua guna kaedah PdPR – KPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sesi persekolahan bagi Penggal 2, 2024/2025 untuk mangsa banjir di beberapa negeri Utara akan diteruskan menerusi kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, pihak sekolah akan memaklumkan mengenai perkara ini kepada ibu bapa atau penjaga murid yang terjejas.

Jelasnya, KPM akan terus memantau situasi banjir, bersiap siaga dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warganya.

“Merujuk kepada takwim kalendar akademik sesi 2024/2025, tarikh permulaan sesi persekolahan bagi Penggal 2, 2024/2025 adalah pada 22 September 2024 bagi negeri Kumpulan A dan 23 September 2024 bagi negeri Kumpulan B.

“Institusi pendidikan bawah KPM yang terkesan banjir dan dijadikan PPS akan meneruskan pembelajaran menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) iaitu sama ada semua murid berada di rumah ataupun sebilangan murid tertentu melaksanakan PdPR.

“Bagi murid yang berada di PPS premis sekolah, pihak jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) telah menggerakkan Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) untuk membantu murid dari aspek kaunseling dan pembelajaran,” katanya.

Setakat 21 September, status institusi pendidikan yang terkesan banjir adalah enam institusi pendidikan melibatkan lima sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah masih dilanda banjir di Kedah.

Selain itu, 36 institusi pendidikan masih dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan 20 sekolah sekolah rendah dan 16 sekolah menengah iaitu Kedah (34), Pulau Pinang (1) dan Perak (1).

Seramai 1,056 orang murid KPM masih berada di PPS premis sekolah manakala Perlis telah pulih sepenuhnya dengan semua PPS premis sekolah ditutup.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN