Banci Pertanian 2024 sudah capai 91 peratus pelaksanaan BERITA

Banci Pertanian 2024 sudah capai 91 peratus pelaksanaan

DR. Mohd. Uzir Mahidin (dua dari kanan) bersama delegasi Agensi Perangkaan Uzbekistan semasa memantau pelaksanaan Banci Pertanian 2024 di Jeti Nelayan Bukit Palong, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Banci Pertanian 2024 yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kini telah mencapai 91 peratus selepas memasuki hari ke-82 pelaksanaannya hari ini.

Ketua Pengarah DOSM, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kebanyakkan negeri telah pun mencapai tahap 80 peratus ke atas termasuklah yang tertinggi iaitu negeri Melaka yang sudah mencapai 94 peratus iaitu meliputan kediaman dan pertubuhan yang telah dilawati bagi kutipan data.

“Walaupun kadar respon tinggi, kita mahu supaya data yang diperoleh merupakan data yang lengkap yang mencerminkan senario yang sebenar, terutamanya dalam kalangan petani, nelayan yang tidak ada rekod yang kukuh berbanding syarikat-syarikat yang terlibat syarikat pertanian.

“Dapatan Banci Pertanian yang tepat dan lengkap dapat menyediakan statistik pertanian real time (masa nyata) komprehensif dan amat penting bagi tujuan penggubalan dasar dan perancangan bantuan kepada pengusaha pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memantau operasi Banci Pertanian 2024 di Jeti Nelayan Bukit Palong, di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, di Negeri Sembilan pelaksanaan Banci Pertanian 2024 telah mencapai sebanyak 86.3 peratus meliputi 37,795 kediaman dan 1,017 pertubuhan yang berpotensi menjalankan sektor pertanian 

“Daripada jumlah itu sebanyak 30,749 tempat kediaman pertanian bersamaan 81.4 peratus dan 893 pertubuhan pertanian bersamaan 87.8 peratus sudah dilawati. Daerah dengan pencapaian yang tertinggi adalah Jempol dan Rembau.

Banci Pertanian 2024 telah dilancarkan pada 7 Julai lalu dan akan berakhir pada 10 Oktober ini.

Sementara itu, pada pemantau operasi bancian itu turut disertai oleh pegawai dari Agensi Perangkaan Uzbekistan yang mempelajari aspek teknikal dan amalan digunakan DOSM semasa mengutip data di lapangan.

Mohd. Uzir, berkata, lawatan tersebut merupakan salah satu inisiatif dalam memperkukuhkan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai kerajaan kedua-dua negara pada 26 Februari lalu.

“Mereka (Uzbekistan) ingin mendapatkan perkhidmatan bantuan daripada segi bagaimana melaksanakan banci penduduk dan banci pertanian memandangkan banci penduduk terakhir dibuat mereka ialah pada tahun 1989.

“Banci pertanian pula semenjak mendapat kemerdekaan (Uzbekistan) tidak pernah buat. Jadi MoU itujuga adalah selari dengan saranan Perdana Menteri iaitu perkhidmatan awam negara kita dapat memberikan juga perkhidmatan serta peranan di peringkat antarabangsa. 

“Ini merupakan antara usaha DOSM bagi mengetengahkan perkhidmatan statistik yang mana banyak negara telah menjadikan DOSM sebagai tanda aras, macam tahun lepas kita delegasi beberapa negara termasuk dari Mesir dan Turki,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN