Bahan buangan SW 322, SW 323 punca pencemaran - Tian Soon - Utusan Malaysia

Bahan buangan SW 322, SW 323 punca pencemaran – Tian Soon

KERJA pembersihan di kawasan Perindustrian Tropika, Johor Bahru yang dikesan sebagai punca pencemaran hampir selesai dilaksanakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bahan sisa buangan yang menyebabkan pencemaran bau kimia di  beberapa lokasi di sekitar daerah ini, baru-baru ini dikenal pasti sebagai buangan pelarut organik bukan terhalogen (SW 322) dan buangan pelarut organik terhalogen (SW 323).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, pihaknya telah mendapat senarai industri atau kilang yang menghasilkan sisa tersebut dan menubuhkan pasukan khas terdiri daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjalankan operasi secara besar-besaran.

“Operasi secara besar-besaran telah dijalankan untuk membuat semakan dan lawatan ke kilang-kilang untuk mengenal pasti dari mana datangnya sisa buangan kimia tersebut. 

“Sehingga hari ini, kita belum dapat mengesan puncanya kerana banyak kilang yang menghasilkan bahan buangan tersebut, meliputi lebih 150 kilang di sekitar lokasi kejadian,” katanya ditemui selepas Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di Sungai Tebrau, Kampung Bakar Batu, di sini hari ini yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, 

Pada 3 September lalu, ratusan penduduk di kawasan Taman Daya, Mount Austin, Taman Istimewa dan Kampung Melayu Pandan mengadu terhidu bau kimia yang kuat berpunca dari Sungai Tebrau, Sungai Plentong dan Sungai Pandan.

Susulan itu, beberapa lokasi lain turut dilaporkan mengalami pencemaran bau kimia yang sama seperti di Kawasan Industri Desa Tropika, Johor Jaya; Impian Emas, Skudai; Flat Melana Perling dan kawasan Kempas.

Setakat ini dua individu, iaitu pemandu lori dan kelindannya telah ditahan reman disyaki membuang bahan kimia di Sungai Linggiu, Kota Tinggi, 4 September lalu.

Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, kerja pembersihan sungai di kawasan yang menjadi punca pencemaran, iaitu di Taman Perindustrian Tiong Nam dan Taman Perindustrian Tropika dijangka siap sepenuhnya esok.

“Bagi lokasi  pertama di kawasan Perindustrian Tiong Nam, kerajaan negeri belanja RM177,000, manakala di lokasi kedua di Taman Perindustrian Tropika, ia menelan kos RM84,000,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya