KOTA BHARU: Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Awan) mempersoalkan tindakan Pas yang meletakan syarat kerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) perlu dilakukan tanpa melibatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Naib Ketuanya, Dr. Hafidzah Mustakim berkata, Awan mengalu-alukan perkara itu sebagaimana saranan yang dilontakan oleh Yang Dipertuan Agung semasa proses pembentukan kerajaan pada 2022.
Menurutnya, bagaimanapun kerjasama itu memerlukan toleransi dan mengikut dasar yang betul ke arah perpaduan.
“Lagipun isu ini (Pas nak bergabung dengan UMNO) sudah lama kita dengar. Apapun ruang terbuka luas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul di Taman Hijau di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan UMNO kecuali Ahmad Zahid. dalam usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk kedua-dua parti itu pada 14 September 2019.
Katanya, langkah itu diambil sebagai usaha untuk menyatukan orang Melayu Islam dan bumiputera.
MN terbentuk hasil piagam dimeterai UMNO dan Pas ketika Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September 2019 selepas negara mengalami kemelut politik pada 2020 akibat peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh.
Sekutu kerjasama itu bertambah apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan berpihak kepada MN sebelum membentuk gabungan politik baharun iaitu Perikatan Nasional (PN).-UTUSAN