Atlet Perlis ramai lari berbakti di negeri lain, perlu bantu sedia peluang kerja, jaga kebajikan - Utusan Malaysia

Atlet Perlis ramai lari berbakti di negeri lain, perlu bantu sedia peluang kerja, jaga kebajikan

BARISAN atlet Perlis Sukma Perlis merakamkan gambar bersama selepas Majlis MPKangar Hargai Pemenang Pingat Sukma 2024 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Atlet-atlet di negeri ini yang cukup berbakat dan mempunyai potensi besar perlu diberikan perhatian dengan menyediakan peluang pekerjaan, menghargai serta menjaga kebajikan mereka agar tidak lari berbakti di negeri lain.

Kebanyakkan atlet di Perlis selama ini menabur bakti di negeri lain atas faktor peluang yang lebih terbuka luas khususnya dalam aspek pekerjaan dan sebagainya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth berkata, Perlis banyak kehilangan atlet disebakan perkara-perkara seperti itu iaitu peluang pekerjaan, kebajikan dan penghargaan.

Katanya, di pihak MPK, mereka sememangnya membantu menjaga kebajikan atlet negeri ini menerusi inisiatif pengambilan bekerja sebagai menghargai golongan berkenaan.

“Atlet kita sebenarnya ramai yang berpontensi, mempunyai masa depan yang cerah dan boleh berkembang ke peringkat lebih tinggi serta mampu memberi kecemerlangan kepada sukan di Perlis.

“Namun apabila cemerlang, orang ambil pergi ke tempat lain dengan peluang lebih terbuka luas khususnya dalam aspek peluang pekerjaan. Kita mesti usaha memegang mereka ini dengan pelbagai insentif penghargaan dan juga peluang kerja.

“Kita juga berharap agar agensi-agensi lain di negeri ini dapat melihat perkara ini dengan sebaiknya dan dapat menyediakan peluang sewajarnya kepada atlet-atlet Perlis.

“Kita ambil ruang ini bukan untuk mengejar kemashyuran tapi sebagai penghargaan kepada atlet-atlet ini untuk terus menabur bakti di Perlis,” katanya ketika ditemui selepas Majlis MPKangar Hargai Pemenang Pingat Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, MPK turut menyerahkan sumbangan bernilai RM5,000 sekali gus menjadi agensi pertama di negeri ini yang menganjurkan majlis meraikan atlet tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak berkata, kerajaan negeri memperhalusi dan mengadakan perbincangan secara mendalam berhubung cadangan pengambilan atlet Perlis untuk bekerja bersama agensi-agensi kerajaan.

Katanya, perbincangan dan perancangan mengenai inisiatif itu sudah dijalankan bersama agensi-agensi berkaitan antaranya seperti MPK sebelum ini.

Beliau berkata, langkah yang cuba dilaksanakan ini adalah merupakan salah satu usaha bagi menghargai peranan atlet-atlet yang membawa nama negeri ini dalam kejohanan atau temasya sukan.

“Kita cuba cari jalan terbaik supaya ada situasi menang-menang di mana kerajaan negeri bantu atlet ini dengan menyediakan peluang pekerjaan.

“Perkara ini bagaimanapun masih perlukan perbincangan mendalam bersama agensi kerana kita tak mahu buat pengumuman mengenai perkara ini, tapi tiba-tiba kemudian terpaksa tarik balik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya