MACHANG : Angkatan Pertahanan Awam (APM) melaksanakan pendekatan baharu dengan memasang Plat Rentan Bencana bagi membantu memudahkan operasi menyelamat semasa berlakunya bencana.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, pemasangan itu dilakukan di setiap rumah yang terdedah dengan bencana serta memerlukan bantuan segera.
Menurutnya, sejurus berlaku bencana tumpuan akan terus diberikan kepada rumah yang dipasang alat berkenaan untuk proses pemantauan.
“Pemasangan plat ini akan membantu sekiranya ada individu atau keluarga yang memerlukan bantuan segera. Menariknya, ia dapat dilihat pada waktu malam sekali gus memudahkan lagi penugasan.
“Pendekatan baharu ini akan memudahkan urusan menyelamat kerana apabila kerja-kerja menyelamat selesai, plat itu akan diterbalikkan,”katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi Pemakaian Pangkat & Penganugerahan Reben Perkhidmatan serta Kecemerlangan APM Negeri Kelantan Tahun 2023/2024 di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Machang di sini hari ini.
Terdahulu, seramai 230 anggota dan pegawai APM menerima kenaikan pangkat serta penganugerahan perkhidmatan.
Dalam pada itu, APM turut mengenalpasti lebih 6,000 kawasan berisiko berlakunya banjir, kepala air serta tanah runtuh di seluruh negara tahun ini.
Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 617 kawasan dikenalpasti di Kelantan dan kesemua kawasan ‘hotspot’ itu akan diberi perhatian menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka hujung tahun ini.
“Kesemua kawasan ‘hotspot’ bencana yang dikenalpasti ini adalah berdasarkan trend yang berlaku dalam tempoh tiga tahun daripada jabatan-jabatan teknikal di seluruh negara.
“Kawasan-kawasan tersebut akan diberi perhatian termasuk melaksanakan tindakan awal menyelamat dengan menghantar keperluaan menyelamat seperti bot, jaket keselamatan dan sebagainya,”katanya.-UTUSAN