Angkat keunikan muzik tradisional caklempong - Utusan Malaysia

Angkat keunikan muzik tradisional caklempong

NICOLE Tan Lee Koon (kanan) mencuba alat muzik caklempong selepas siding akhbar Program Pelancongan Budaya: Festival Caklempong 2024 di Port Dickson.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seramai 50 orang pemain alat muzik tradisional caklempong akan ditampilkan pada Festival Caklempong 2024 yang bakal diadakan selama tiga hari bermula 27 September ini di Nilai di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, festival berkenaan adalah anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan dengan kerjasama pihak Majlis Kebudayaan Negeri (MKN).

Jelas beliau, festival tersebut bertujuan menyemarak dan mengangkat kembali keunikan seni persembahan muzik tradisional melalui muzik caklempong di negeri ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengangkat kesenian muzik tradisional caklempong sebagai identiti Negeri Sembilan ke peringkat antarabangsa selain menggalakan dan memberi pendedahan kepada peminat muzik khususnya golongan muda dapat mengenali lebih dekat muzik tradisi tersebut.

“Pengisian utama festival adalah Konsert Caklempong Ekstravaganza yang berkonsepkan orkestra caklempong merangkumi 50 orang pemuzik caklempong, nyanyian artis jemputan serta tarian yang beridentitikan Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar Program Pelancongan Budaya: Festival Caklempong 2024 di sini.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, persembahan caklempong akan turut menghimpunkan bakat pelajar serta murid sekolah di sekitar Negeri Sembilan.

“Ada sekolah yang aktif dalam muzik caklempong ini dan mereka telah berlatih begitu lama. Jadi di sinilah peranan JKKN untuk memberi peluang kepada mereka untuk menunjukkan bakat dalam permainan alat muzik caklempong ini selain menjadi platform kita untuk mengetengahkan muzik caklempong ini kepada lebih ramai orang,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya