Anak terkilan gagal selamat barangan peninggalan arwah ibu

Anak terkilan gagal selamat barangan peninggalan arwah ibu

NIK Siti Nor Hamzani Mohd. Ghani sugul melihat rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Berangan Masjid, Tumpat, Kelantan-UTUSAN/ROHANA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Seorang anak terkilan apabila tidak sempat menyelamatkan barangan peninggalan arwah ibunya selepas rumah pusaka keluarganya musnah dalam kebakaran di Kampung Berangan Masjid, di sini tengah malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam semasa Nik Siti Nor Hamzani Mohd. Ghani, 28, yang masih bujang tinggal rumah tersebut seorang diri.

Menurutnya, dia menyedari kebakaran itu ketika mahu mengambil pengecaj telefon berhampiran bilik tidur arwah ibunya.

“Tiba-tiba saya melihat api di dalam bilik tidur arwah ibu sebelum bahagian dinding bilik itu terbakar dan merebak ke lantai.

“Api marak menyebabkan saya panik dan tidak sempat berbuat apa-apa. Saya hanya fikir mahu cepat-cepat keluar rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Nik Siti Nor Hamzani memberitahu, oleh kerana terlalu panik, dia terlupa lokasi simpanan kunci pintu jeriji sehingga mengambil masa beberapa minit untuk mencarinya.

Katanya, dia keluar rumah dalam keadaan sehelai sepinggang dan hanya sempat mengambil telefon bimbit.

“Saya terkilan apabila semua barangan arwah ibu, Tengku Hafpasah Tengku Senik yang meninggal dunia lima tahun lalu semua hangus dijilat api.

“Gambar dan semua pakaian milik ibu yang disimpan rapi sebagai kenangan habis terbakar. Itu merupakan kenangan saya sangat sedih kerana semua kenangan bersama arwah ibu jadi abu,” ujarnya.

Nik Siti Nor Hamzani memberitahu, selain wang simpanannya sebanyak RM800 terbakar, beberapa ekor kucing peliharaan turut mati akibat terperangkap di dalam rumah semasa kejadian.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Lizan Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 12.40 tengah malam sebelum 12 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Ujarnya, 80 peratus bahagian rumah separa kekal itu musnah dalam kebakaran tersebut dan api dapat dikawal kira-kira pukul 12.59 tengah malam.

Tambahnya, operasi memadam kebakaran tamat pada pukul 3.18 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN