Anak nelayan tolak tawaran USM dapat perhatian Pengerusi Mara - Utusan Malaysia

Anak nelayan tolak tawaran USM dapat perhatian Pengerusi Mara

DATUK DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesempitan anak nelayan cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2024 yang menolak tawaran pengajian Universiti Sains Malaysia (USM) mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut Asyraf Wajdi, Yayasan Pelajaran Mara akan membantu pelajar tersebut.

Kata Setiausaha Agung UMNO itu lagi, beliau telah meminta Ketua Pemuda UMNO Pasir Puteh, Muhammad Saifullah Ali untuk menziarahi keluarga pelajar itu dan menyampaikan bantuan bagi pihaknya.

“Waktu di Shanghai pagi tadi, ramai yang hantar mesej perihal anak seorang nelayan di Tok Bali Pasir Puteh, Wan Nur’alyaa Syaza Awang, yang berkira-kira untuk menolak tawaran Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang kerana faktor kemiskinan dan tak mampu nak sediakan belanja awal pendaftaran ke sana.

“Terima kasih semua yang memaklumkan pada saya. Insya-Allah Yayasan Pelajaran Mara akan turut membantu pelajar ini,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kesempitan hidup memaksa seorang anak nelayan yang memperolehi keputusan cemerlang 3.92 dalam STPM 2024 menolak tawaran menyambung pengajian di USM awal bulan depan.

Wan Nur’alyaa, 20, berkata, tindakan itu terpaksa dibuat selepas kedua-dua ibu bapanya tidak mampu menyediakan wang pendaftaran berjumlah RM1,020.

Menurut gadis itu, pendapatan ayahnya, Awang Mat Nor, 62, sebagai nelayan pantai tidak menentu, jadi agak sukar untuk mengumpul wang memandangkan tarikh pendaftaran sudah semakin hampir iaitu 4 Oktober depan.

Katanya, beliau menerima tawaran menyambung pengajian peringkat Sarjana Muda Sastera pada 6 September lalu.

“Perasaan saya memang cukup gembira ketika itu, namun bila memikirkan soal kewangan dan kudrat ayah, keterujaan untuk menyambung pengajian menjadi kendur,” katanya kepada akhbar ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN