Ambil 108,000 biji pil kuda selama tiga dekad

Ambil 108,000 biji pil kuda selama tiga dekad

JAHAR (duduk) diberikan pesanan oleh Pegawai PPA Machang semasa Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Jahar, 58, mendedahkan dia mengambil 10 biji pil kuda setiap hari selama tiga dekad untuk dijadikan sebagai sumber tenaga untuk kekal cergas sebagai tukang rumah.

Jahar mendakwa, sepanjang tempoh itu sebanyak 108,000 biji pil kuda diambil sejak mula mengenali bahan terlarang tersebut semasa berusia 25 tahun.

Katanya, dia terpaksa mengeluarkan belanja RM1,000 sebulan untuk melampiaskan nafsu ketagihan terhadap pil kuda.

“Semua hasil penat lelah membanting tulang sebagai tukang rumah ‘hangus’ dengan membeli dadah. Saya menyesal dengan apa yang telah dilakukan selama ini.

“Selain pengaruh rakan, sikap ingin mencuba mendorong saya untuk mengambil dadah. Akhirnya, saya menjadi hamba kepada bahan terlarang itu,” katanya dengan penuh menyesal semasa ditemui pemberita selepas menjadi salah seorang daripada 69 individu yang dibebaskan menerusi Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang di sini hari ini.

Jahar memberitahu, dia nekad menjadi pembebasan hari ini sebagai medan buatnya untuk berjuang sekali gus meninggalkan dadah selepas lima kali masuk penjara atas kesalahan sama.

Katanya, walaupun sudah acap kali keluarga melarang namun dia sama sekali tidak menghiraukan nasihat itu.

“Selepas dibebaskan, saya akan bekerja untuk mencari sumber pendapatan. Saya juga sepatutnya dibebaskan pada 27 Disember ini.

“Sepanjang perjalanan keluar masuk (penjara) banyak yang sapaya pelajari, paling penting kita sentiasa perlu ingat kepada Allah,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Penjara Pusat Koreksional Machang, Mohd. Sazeli Mohd. Noor berkata, kesemua mereka yang diberikan PBSL ini menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 14 banduan dibebaskan kepada keluarga masing-masing, 24 ditempatkan di Rumah Perantaraan (RP), manakala selebihnya diserahkan kepada majikan untuk membolehkan mereka bekerja.

“Bagi banduan yang diserahkan kepada majikan untuk bekerja, mereka akan dipantau oleh Pegawai Penjara Daerah (PPD) dan tingkah laku mereka juga akan dinilai sekaligus mempengaruhi keputusan PBSL.

“Setiap banduan yang layak dibebaskan secara berlesen mengikut syarat yang ditetapkan penjara dengan menghabiskan baki hukuman di antara tempoh sebulan hingga 10 bulan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN