KLANG: Pendakwah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman dipenjara selama 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki, dua tahun lalu.
Hakim Noridah Adam memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili Azman Syah Alias, 43, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan kes itu.
Selain itu, tertuduh diperintah menjalani kaunseling dan pengawasan polis selama dua tahun selepas hukuman selesai.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur’ Ayuni Jamri manakala Azman diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad.
Terdahulu, tertuduh yang berpakaian gelap hanya kelihatan sugul selepas tiba di mahkamah bagi prosiding itu, kira-kira pukul 10 pagi.
Pada 26 Disember tahun lalu, Azman diperintah membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.
Berdasarkan dua pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang di sini, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi, 20 Februari serta 29 Jun 2022.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Azman yang turut dikenali sebagai Cik Man turut berdepan sembilan pertuduhan iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Shah Alam dan masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang.
Sementara itu, peguam yang mewakili pendakwah itu, Mohamad Zahid Ahmad berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini, secepat mungkin.
“Kami semestinya akan membuat rayuan nanti (bagi menangguh dan menggantung hukuman itu). Kesemua proses itu akan dibuat di Mahkamah Tinggi Klang,” katanya ketika ditemui pemberita.