Alumni berperanan bantu sekolah ikut kepakaran, pengalaman - Utusan Malaysia

Alumni berperanan bantu sekolah ikut kepakaran, pengalaman

ZAINAL Eran menyerahkan cek RM30,000 kepada Pemangku Pengetua SMK Sri Kukup, Siti Suanja Somiran bagi tabung pembangunan sekolah itu di Kompleks Penghulu Mukim Serkat, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Alumni sekolah perlu memainkan peranan untuk membantu menyumbang kembali kepakaran mereka kepada murid dan pelajar di sekolah lama, sekali gus melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran supaya lebih efektif. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan berkata, alumni adalah entiti kedua penting sebagai nadi sesebuah sekolah selain Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Menurutnya, sumbangan yang diberi tidak hanya terhad dalam aspek kewangan semata-mata, malah boleh memberi sumbangan berdasarkan kepakaran dan kemahiran masing-masing.

“Ada yang aktif dan mempunyai pengalaman hebat dalam bidang sukan, perniagaan, dunia korporat dan agama. Semua pengalaman itu penting untuk alumni manfaatkan dalam membimbing murid dan pelajar di sekolah lama bagi menghadapi persaingan yang sangat mencabar ketika ini,” katanya menghadiri Sukan Rakyat Johor dan Suara Merdeka D’ Kukup 2.0 di Komplek Penghulu Mukim Serkat yang disempurnakan oleh Pegawai Daerah Pontian, Zainal Eran, dekat sini.

Pada program itu, turut dilancarkan Tabung Pembangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kukup bagi membantu pembangunan dan keceriaan sekolah berkenaan.

Mengulas lanjut, Jefridin berkata, alumni boleh bekerjasama erat dengan pihak sekolah untuk berkongsi ilmu serta maklumat tentang kerjaya mereka agar dapat memberi impak positif kepada pelajar.

Katanya, SMK Sri Kukup yang ditubuhkan pada 1967 mempunyai kira-kira 30,000  alumni yang boleh membantu menggerakkan tabung pembangunan itu termasuk bagi kerja-kerja mengecat semula bangunan yang telah kusam, membaik pulih, menambah kemudahan bilik-bilik khas serta baik pulih infrastruktur lain.

“Kalau seorang alumni menyumbang RM10, kita akan mendapat sebanyak  RM300,000 dan jika ada yang menyumbang  RM100 seorang,  kita akan mendapat sebanyak RM3 juta,’ jelasnya yang juga alumni SMK Sri Kukup dari 1981-1983. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN