Aliran trafik keluar Kelantan lancar

Aliran trafik keluar Kelantan lancar

ALIRAN trafik masih lagi lancar walaupun jumlah kenderaan keluar dari negeri ini semakin bertambah di jalan Gua Musang, Kelantan hari ini-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Aliran trafik keluar dari negeri ini terutama di Jalan Kuala Kra-Gua Musang dan Jalan Gua Musang-Kuala Lipis lancar setakat tengah hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tiada sebarang kesesakan luar biasa di kawasan bandar Gua Musang sempena cuti sekolah penggal kedua yang hampir tamat pada esok dan Ahad.

Seorang pengguna, Nurul Ain Mohd. Taruddin, 40, berkata, aliran trafik yang lancar hari ini menyaksikan dia hanya mengambil masa selama dua jam untuk tiba di Gua Musang.

“Saya bertolak dari bandar Kuala Krai pada pukul 10 pagi ini dan aliran trafik masih lancar. Kenderaan bergerak pada kelajuan terkawal semasa melalui Jalan Gua Musang-Kuala Krai. 

“Saya sempat berhenti berehat di Hentian Rehat Dan Rawat Rantau Manis dan Hentian Gua Musang dan sudah banyak kenderaan pengguna lain,” katanya.

Sementara itu Mohd. Nuh Yusuff, 38, memberitahu, walaupun jumlah kenderaan dilihat semakin bertambah namun aliran trafik keluar dari negeri ini masih lancar.

“Kami merancang untuk pulang hari ini kerana yakin bilangan kenderaan dijangka semakin bertambah keluar dari negeri ini kerana cuti sekolah sudah habis.

“Kami berharap pengguna jalan raya berhati-hati dalam pemanduan dan selamat tiba ke destinasi yang dituju,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN