Aktiviti risiko, gaya hidup tidak sihat punca jangkitan Mpox

Aktiviti risiko, gaya hidup tidak sihat punca jangkitan Mpox

LUKANISMAN Awang Sauni (tengah) beramah mesra dengan peniaga semasa Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) Peringkat Negeri Kelantan 2024 di Medan Selera Laman Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/ROSMIZAN RESDI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kes-kes positif cacar monyet atau monkeypox (Mpox) yang berlaku ketika ini berkemungkinan besar berpunca daripada aktiviti berisiko termasuk gaya hidup tidak sihat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pihaknya akan memberi perhatian terutamanya kepada golongan berisiko yang mungkin melakukan aktiviti sosial yang kurang sihat atau berisiko sehingga boleh menjangkiti individu lain.

Menurutnya, bagaimanapun, kes Mpox di negara ini masih lagi terkawal dan belum menjadi satu wabak yang besar.

“Kita berharap kerjasama daripada masyarakat dan golongan berisiko supaya lebih berhati-hati dengan gaya hidup mereka yang boleh menyebabkan jangkitan Mpox.

“KKM juga telah memberi garis panduan yang jelas risiko jangkitan Mpox. Justeru, kumpulan berisiko diminta untuk tampil mendapatkan saringan kesihatan sekiranya terdapat tanda-tanda jangkitan berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Program Walkabout Premis Bersih,Bebas Asap (BeBAs) Peringkat Negeri Kelantan 2024 di Medan Selera Laman Siti Khadijah, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, KKM mengesan satu kes positif cacar monyet atau Mpox varian Clade II di negara ini pada 16 September lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kes berkenaan dikesan daripada 58 kes disyaki Mpox yang sudah dirujuk kepada KKM sepanjang tahun ini.

Katanya, pesakit berkenaan seorang lelaki tempatan yang mula menunjukkan gejala demam, sakit tekak dan batuk pada 11 September lalu, manakala ruam mula muncul pada 12 September.

Dalam pada itu, Lukanisman memberitahu, semua petugas kesihatan dan klinik di seluruh negara sudah berada dalam keadaan bersiap sedia untuk berhadapan dengan kes jangkitan Mpox.

Katanya, segala prosedur dan saringan kesihatan dilaksanakan di semua pintu masuk bagi mengesan kemasukan wabak Mpox dari sempadan negara.

“Perkara mengenai pemberian vaksin Mpox perlu dirujuk kepada kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sebelum ini.

“Bagaimanapun, pemberian vaksin bekemungkinan diutamakan kepada petugas-petugas kesihatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN