KANGAR: Kerinduan penyokong menyaksikan legenda bola sepak Malaysia dan Singa Utara terubat apabila bintang-bintang era tahun 1980 dan 1990-an itu beraksi dalam perlawanan persahabatan di stadium keramat, Tuanku Syed Putra di sini, semalam.
Perlawanan persahabatan bersempena Festival Kangar Unity anjuran Kelab Unity Kangar yang menampilkan legenda-legenda kebangsaan dan Perlis seperti Subadron Aziz, Azizon Kadir, Azizul Kamaludin, Khairul Anuar Baharom, Saidin Osman, Suhairi Karim, Adrien Jurad Chamrong itu berlangsung sengit yang menyaksikan Perlis menang 2-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi sebenar berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.
Perlawanan tersebut juga menyaksikan penampilan istimewa bekas pemain import sensasi Perlis tahun 1989 seperti Praduphan Jarunya yang juga penjaring terbanyak liga pada tahun berkenaan, Nakul Watana, Somkeat Fongpech dan Sanphong Sitthiphachirasakun.
Pengerusi Kelab Unity Kangar, Zakri Hassan berkata, perlawanan itu secara tidak langsung mengembalikan nostalgia bola sepak era 80 dan 90-an dengan kebanyakkan pemain sebenarnya masih boleh beraksi dengan baik dan bersemangat meskipun ada antara mereka yang sudah berusia lebih 60 tahun.
“Insya Allah melihat kepada kejayaan perlawanan tersebut, mungkin akan diadakan lagi perlawanan seperti itu pada masa depan seperti legenda Perlis bertemu legenda Selangor” katanya.
Legenda Perlis dan Kuala Lumpur, Saidin berkata, dia gembira dapat berjumpa dan berkumpul semula dengan rakan-rakan lama menerusi perlawanan berkenaan.
“Bila berkumpul seperti ini, rasa cukup seronok. Perlis atau Singa Utara juga sentiasa di hati saya meskipun saya banyak mengecapi kejayaan bersama Kuala Lumpur termasuk Piala Malaysia,” katanya.