Akmal biadab gelar Teresa ‘nyonya tua’ - Utusan Malaysia

Akmal biadab gelar Teresa ‘nyonya tua’

RUU
TERESA KOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dianggap biadab selepas didakwa mengeluarkan kenyataan yang bersifat seksis dan misoginis terhadap Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok.

Ketua Pemuda DAP, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen berkata, Muhamad Akmal seharusnya menentang dengan fakta dan hujah dalam isu cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mempertimbangkan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan.

Menurut beliau, pemimpin UMNO itu tidak seharusnya menggunakan panggilan nama terhadap Teresa.

“Kenyataan Akmal itu berbaur seksis dan misoginis (kebencian terhadap wanita) dan benar-benar biadab serta tidak wajar (dilakukan oleh) seorang pemimpin belia di negara kita.

“Perbuatan sebegini wajar ditegur dan dikutuk kerana ia menunjukkan contoh yang tidak baik kepada orang lain terutamanya kepada belia negara kita tentang sikap seorang pemimpin negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, melalui sebuah klip video yang dimuatnaik di akaun TikTok, Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menyelar kenyataan yang dikeluarkan oleh Teresa

Beliau menyifatkan Ahli Parlimen Seputeh itu sebagai ‘nyonya tua’ dan meminta kerajaan menyediakan logo tidak halal untuk ditampil oleh kerajaan untuk ditampal di dahi Teresa.

Mengulas lanjut, Kelvin Yii mengingatkan Muhamad Akmal bahawa Teresa merupakan wakil rakyat sejak 1999 yang menjadikan beliau ahli Parlimen selama enam penggal atau kira-kira 25 tahun.

Beliau berkata, Teresa hanya membangkitkan kebimbangan yang sah oleh orang diwakilinya.

“Perkara penting ini akan dibincangkan secara menyeluruh oleh pemimpin kita dalam kabinet, dan tidak seharusnya dijadikan polemik dan dipolitikkan.

“Kita boleh mempunyai perspektif dan pandangan yang berbeza tentang dasar – bahas dan bincangkannya secara matang. Tidak perlu memanggil nama, merendah-rendahkan martabat seseorang yang lebih berusia dan tidak menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak mengamalkan politik matang dan konstruktif sebagai teladan kepada masyarakat terutama golongan muda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN