JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri sedang menjalankan siasatan lanjut sama ada akan mendakwa ahli GISB Holdings Sdn. Bhd., (GISBH) sekiranya mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiah yang diamalkan oleh kumpulan al-Arqam.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, siasatan itu dibuat susulan penemuan buku-buku lama dan baharu dipercayai ada kaitan dengan Aurad Muhammadiah dalam serbuan di premis GISBH di lima daerah minggu lalu.
Beliau berkata, dalam serbuan yang sama di pusat kebajikan kanak-kanak dan premis institusi pendidikan turut menjumpai beberapa gambar bekas pemimpin utama kumpulan ajaran sesat tersebut.
“Tindakan lanjut ke atas mereka ini akan mengambil masa sebab kita perlu kajian menyeluruh sama ada terkait Aurad Muhammadiah, jika ada tindakan lanjut akan diambil di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2003 (Negeri Johor).
“Penemuan gambar-gambar yang dilihat seolah-olah memuja atau pun masih lagi mengagung-agungkan pemimpin lama mereka masih menjadi kebimbangan kita,” katanya selepas menghadiri Majlis Minum Petang Bersama Pembayar Zakat Perniagaan melibatkan 10 syarikat swasta berjumlah lebih RM937,000 di Hotel Grand Paragon, di sini hari ini.
Pada minggu lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibantu Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melakukan serbuan di premis GISBH yang terletak di Kluang, Mersing, Segamat, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Op Global yang dilakukan pada Khamis dan Jumaat lalu menemukan bahan bacaan terlarang ataupun bacaan baharu dipercayai mempunyai kaitan dengan dengan Aurad Muhammadiah yang difatwakan sesat.
PDRM dan JAINJ turut menyelamatkan kanak-kanak yang kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengeluarkan fatwa berkaitan GISBH, Mohd. Fared memberitahu, kerajaan negeri akan mengikut ketetapan yang dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Kita bukan nak menganiaya, tetapi kita benar-benar mahu jaga akidah serta kebajikan, khususnya anak-anak dan warga emas atau sesiapa sahaja yang didapati teraniaya,” katanya. UTUSAN