Ahli Alumni 4B sokong calon BN - Utusan Malaysia

Ahli Alumni 4B sokong calon BN

HASAN Rahman (kanan) mengadakan perbincangan dengan kepimpinan pertubuhan Alumni 4B Malaysia di PDM Lian Seng, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Pertubuhan Alumni 4B Malaysia yakin kira-kira 200 ahlinya termasuk keluarga yang merupakan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan memilih calon Barisan Nasional (BN),  Syed Hussien Syed Abdullah, Sabtu ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Hasan Rahman berkata, hasil pertemuan kepimpinan tertinggi pertubuhan itu diketuai Presiden, Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad dengan semua ahli telah memberi jaminan akan menyokong calon BN.

Beliau yakin ahli pertubuhan itu tidak akan beralih arah untuk memilih calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Rata-rata ahlinya adalah penyokong tegar UMNO dan BN walaupun bergerak di bawah pertubuhan ini.

Malah, kira-kira 50 ahli pertubuhan itu berkampung di bandar Kluang sejak hari penamaan calon untuk bertemu bukan sahaja ahli, malah pengundi di DUN Mahkota dengan satu matlamat mahu memastikan gelombang kejayaan di DUN Nenggiri diteruskan di sini.

“Kita lihat suasana di sini jauh berbeza sewaktu PRK DUN Nenggiri. Pembangkang seperti tidak bersungguh menghadapi DUN Mahkota. Kita dapat lihat bendera BN jelas menguasai setiap kawasan kalau hendak dibandingkan dengan parti lawan. 

“Jentera BN diterajui Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bekerja keras untuk memastikan BN menang.Rata-rata pengundi yang kita temui sewaktu ziarah kasih mendapati mereka menyokong calon BN berbanding calon PN. Kita yakin BN dijangka dapat mengekalkan kerusi DUN Mahkota,” katanya.

Hasan berkata, DUN Mahkota merupakan kubu kuat BN dan Pakatan Harapan (PH) serta tidak mustahil untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Pihaknya amat optimis Syed Hussien dapat diterima oleh seluruh penduduk termasuk masyarakat Cina dan India. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN