Agong gembira sambutan Hari Kebangsaan 2024 teratur - Utusan Malaysia

Agong gembira sambutan Hari Kebangsaan 2024 teratur

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Sambutan Hari Kebangsaan 2024, di Dataran Putrajya, di sini semalam. – Mingguan/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim gembira dan berpuas hati dengan perjalanan sambutan Hari Kebangsaan 2024 semalam.

Baginda bertitah demikian kepada Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024, Fahmi Fadzil sebelum berangkat pulang sejurus selesai acara.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, baginda turut menzahirkan rasa gembira acara gemilang itu berlangsung tepat pada masanya.

“Tuanku bertitah bahawa baginda sangat gembira dengan perjalanan sambutan hari ini (semalam) yang berjalan tepat pada masanya,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sempat menitipkan rasa gembira dengan sambutan Hari Kebangsaan kali ini.

Menurutnya, Perdana Menteri menyifatkan penganjuran sambutan tahun ini adalah yang terbaik pernah beliau lihat.

“Beliau (Anwar) sangat gembira dan berkata bahawa ini adalah yang terbaik pernah beliau lihat. Alhamdulillah,” katanya.

Kira-kira 100,000 pengunjung memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 dan Dataran Putrajaya mula dibanjiri seawal pukul 1 pagi.

Acara perbarisan dan perarakan kali ini melibatkan 13,009 peserta persembahan dan perarakan, 112 haiwan dalam perkhidmatan, 439 aset darat dan udara daripada pelbagai agensi.

Anwar turut memecahkan suasana dan kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 di Dataran Putrajaya apabila menyantuni petugas perarakan dan orang awam.

Kemesraan itu ditonjolkan Perdana Menteri sebagai terjemahan ucapan terima kasih kepada peserta perarakan, artis budaya dan peserta ‘human grafic’ dari Kementerian Pendidikan (KPM) yang berada di hadapan pentas utama.

Anwar memecahkan protokol itu dengan menyantuni peserta sambutan itu sejurus Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berangkat meninggalkan majlis sambutan.

Pada masa sama, Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut berjalan kaki sejauh 50 meter di Dataran Putrajaya demi menyantuni orang awam yang berada di ruang penonton.

Anwar dan isteri dilihat bersalaman dengan pengunjung yang hadir dan orang ramai turut mengabadikan detik itu dengan merakam gambar kenangan.

Selepas kira-kira 10 minit, Anwar dan isteri beredar meninggalkan pekarangan lokasi sambutan dengan lambaian selamat tinggal kepada orang awam.

Turut dilihat berbuat demikian, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN