Agensi, jabatan dan kementerian dicadang mainkan lagu Negaraku seminggu sekali - KSN - Utusan Malaysia

Agensi, jabatan dan kementerian dicadang mainkan lagu Negaraku seminggu sekali – KSN

SHAMSUL Azri Abu Bakar ketika menyampaikan amanat pada Majlis Aspirasi Kepimpinan Ketua Setiausaha Negara Tahun 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dicadangkan supaya memainkan lagu Negaraku seminggu sekali bagi memperkukuh semangat patriotisme dalam kalangan penjawat awam.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, beliau telah meminta Kementerian Perpaduan Negara untuk memperincikan lagi cadangan itu.

Beliau berkata, pihaknya berharap satu pekeliling tentang pembudayaan amalan patriotisme penjawat awam dapat dikeluarkan segera.

“Ini (cadangan) boleh dilakukan dengan melaksanakan program dan aktiviti yang berbentuk patriotik. Lagi kerap lagi bagus,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Aspirasi Kepimpinan Ketua Setiausaha Negara Tahun 2024, di sini hari ini.

Katanya, cadangan itu antara lima strategi boleh dilakukan dalam usaha penghayatan nilai dan tatakelola dalam kalangan penjawat awam.

Sementara itu, Shamsul Azri berkata, sejak hari pertama dilantik menjadi ketua setiausaha negara, beliau mendapati wujud tiga cabaran utama yang begitu menebal dalam sektor awam.

“Pertama adalah mentaliti ‘silo’ dan birokrasi yang masih kuat mengakar dan berumbi dalam sesetengah agensi.

“Puncanya sebab ada perasaan ‘superior’ atau rasa diri berkuasa dan lebih hebat daripada orang lain. Kononnya, kuasa mutlak ialah milik agensi itu,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Azri berkata, beliau juga tidak nafikan masih wujud ‘Little Napoleon’ dalam organisasi kerajaan.

“Satistik dikeluarkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga Ogos lalu mendedahkan, sejumlah 408 tangkapan telah dibuat melibatkan penjawat awam.

“Malah, jumlah ni adalah meningkat berbanding tempoh sama pada tahun lalu, iaitu 318 tangkapan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN