Adun Dusun Tua tekad tabur bakti di kawasan

Adun Dusun Tua tekad tabur bakti di kawasan

MASYARAKAT keturunan Cina turut disantuni Johan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN hampir sepenggal berehat menjadi wakil rakyat, semangat untuk berbakti tidak pernah luntur bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd. Aziz.

Malah, beliau yang sentiasa mesra dan mudah didekati penduduk telah menetapkan misi tersendiri yang perlu direalisasikan sebelum menjelang pilihan raya seterusnya, terutama hal kesesakan lalu lintas di kawasan DUN berkenaan.

JOHAN (duduk kiri) berbual bersama salah seorang penduduk di DUN Dusun Tua ketika sesi ziarah.

Paling penting, beliau mahu memastikan keselesaan dan kemudahan di Dusun Tua dinikmati bukan sahaja penduduk, tetapi juga untuk pengunjung luar yang seringkali memenuhi tempat perkelahan di kawasan berkenaan.

Memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tahun lalu dengan majoriti undi 3,014, Johari yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor berkata, beliau lebih mengutamakan fokus terhadap pembangunan infrastruktur sebaik saja menjadi ADUN.

“Selepas setahun memenangi PRN, saya memang fokus kepada pembangunan infrastruktur DUN Dusun Tua yang banyak terjejas teruk ketika banjir pada tahun 2021.

“Malah, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sendiri pernah datang. Alhamdulilah kampung-kampung di bawah DUN ini telah mendapat peruntukan selepas kerajaan memberi RM2 juta. Justeru kita akan pastikan segalanya berada pada tahap terbaik selepas ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Sebagai rekod, penduduk Dusun Tua merangkumi 63 peratus pengundi Melayu, diikuti 28 peratus pengundi Cina, India (tujuh peratus) dan lain-lain (dua peratus).

Dalam pada itu, Johan memberitahu, kedudukan Dusun Tua yang terletak di pinggir bandar dan mempunyai banyak kawasan perkelahan membuka ruang untuk terus dibangunkan pada masa akan datang.

Justeru, beliau mahu memastikan Dusun Tua menjadi hub pelancongan terkenal di kawasan Selangor satu masa nanti.

BARISAN pemuda turut bergambar kenangan bersama Johan (empat dari kiri) sebelum sepak mula perlawanan bola sepak baru-baru ini.

“Sektor ekonomi di Dusun Tua yang berteraskan eko pelancongan memberi banyak sumbangan kepada penduduk setempat dan juga negeri.

“Justeru, infrastruktur yang ada perlu mantap dan tidak berlaku kesesakan. Nanti semua orang akan menyumpah saya dan saya tidak mahu cerita menaik taraf ini dijadikan retorik semata-mata,” ujarnya.

Tambahnya, antara perancangan yang akan dilaksanakan adalah pelebaran jalan dan kerja-kerja menaik taraf lampu isyarat terutama di persimpangan jalan utama ke Dusun Tua.

Ketika ditanya tentang aspek pendidikan di DUN berkenaan, Johan berkata, beliau kini cuba menggalakkan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) di beberapa maahad tahfiz berdaftar di Dusun Tua.

“Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sangat menyokong ketika perhimpunan huffaz baru-baru ini untuk memastikan mereka bekerjaya apabila tamat nanti,”jelasnya.

Selain pendidikan, beliau turut berusaha untuk meningkatkan kemudahan lain yang sebelum ini tiada dan ada yang tidak cukup di DUN berkenaan.

“Sebelum ini, ada pemaju mahu membangunkan satu kawasan untuk dijadikan taman perumahan .Tapi kita kenakan syarat agar kemudahan infrastruktur lain seperti tapak sekolah dan tapak balai bomba disediakan.

“Pada awalnya tiada dalam pelan dan saya bangkitkan dalam mesyuarat. Saya cakap ia mesti ada dan saya tidak mahu pelan tersebut diluluskan kalau kedua-dua ini tiada.Saya tidak akan duduk diam dalam hal membabitkan infrastruktur.Justeru apabila mereka setuju, tugas saya pula untuk memohon peruntukan kewangan,”jelasnya.

Di samping itu, katanya, tapak kuari yang menjadi salah satu sumber ekonomi negeri di Dusun Tua memerlukan perhatian ekoran kesan yang dialami di kawasan berkenaan.

“Ada empat tapak kuari yang bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi negeri tetapi kepada kerosakan banyak sebab kenderaan berat lalu di jalan-jalan kecil.

“Sebab itulah saya selalu mesyuarat dan panjangkan isu ini agar ia dapat diselaraskan antara sumbangan pendapatan dan juga penyelenggaraan infrastruktur,”jelasnya.

Daripada segi kebajikan, Pejabat DUN Dusun Tua sentiasa memberikan perhatian terhadap keperluan rakyat seperti pemberian bakul makanan dan bantuan kewangan.

“Apabila semua elemen seperti keperluan pembangunan, ekonomi dan pelancongan di tingkat upaya, Dusun Tua mampu menjadi lokasi menarik serta membangun,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN