KUALA LUMPUR : Seorang penjaga rumah amal yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) yang disyaki mendera penghuni di situ antara 171 kakitangan ditahan dalam Op Global pada 11 September lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan disyaki melakukan penderaan fizikal kepada penghuni di rumah amal terbabit.
“Hasil daripada siasatan dan rakaman keterangan yang dibuat, kebetulan yang mendera itu memang ada dalam (kumpulan) suspek yang kita tangkap.
“Suspek mengaku dia yang buat (mendera), tetapi kita sedang cuba kenal pasti sama ada mangsa ada dalam kalangan mangsa yang diselamatkan, atau masih ada di luar,” katanya dalam sidang akhbar Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini hari ini.
Jelas beliau, siasatan terhadap suspek adalah berkait dengan beberapa rakaman video yang tular menunjukkan beberapa kanak-kanak dipercayai penghuni rumah amal dikaitkan dengan GISBH didera termasuk dirotan pada tapak tangan.