Ada penjawat awam masih ragu terima opsyen SSPA -

Ada penjawat awam masih ragu terima opsyen SSPA

ADNAN Mat (tengah) melancarkan buku 'Kerjaya Sebagai Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Edisi 2.0' sempena Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia anjuran Persatuan Pegawai Kesihatan Persekitaran Malaysia di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Masih terdapat penjawat awam yang ragu-ragu untuk menerima opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bakal berkuat kuasa pada 1 Disember ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, oleh itu pihaknya menyarankan agar sekelompok kecil penjawat awam itu untuk segera menandatangani segera opsyen SSPA seperti yang diumumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru-baru ini.

Menurutnya, tujuan SSPA itu dilaksanakan adalah untuk peningkatan gaji lebih baik kepada sektor awam dan pihaknya juga sudah meneliti keseluruhan pekeliling tersebut yang mana tiada pihak akan mengalami pengurangan daripada segi gaji.

“Prinsip mudah (SSPA) adalah naik gaji. Kedua tidak ada apa-apa pengurangan berlaku, cuma mungkin sebahagian dapat lebih, sebahagian dapat setara, sebahagiannya masih dalam keadaan biasa, yang penting tidak ada yang terkurang. 

“Tidak ada keperluan untuk ragu-ragu, terus sahaja menandatangani supaya dapat gaji lebih baik. Pada masa yang sama, sebarang keluh-kesah kita ambil kira, kita akan bawa semua pandangan dan penambahbaikan kehendak sebahagian kecil yang merasakan mereka tertinggal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia anjuran Persatuan Pegawai Kesihatan Persekitaran Malaysia (EHOM), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Adnan turut melancarkan buku Kerjaya Sebagai Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Edisi 2.0.

Sementara itu, beliau berkata lagi, SSPA dilihat lebih baik daripada Skim Saraan Malaysia (SSM) dan sekiranya ada mana-mana kelompongan dalam bentuk skim perkhidmatan, pihaknya akan berunding terus dengan kerajaan melalui JPA.

“Apa yang penting terima dahulu, tandatangani bagi memudahkan peningkatan gaji maka dengan peningkatan gaji, saya yakin dan percaya penjawat awam dapat memenuhi kehendak-kehendak mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, Adnan berterima kasih kepada kerajaan dan JPA kerana telah meluluskan elaun Bayaran Insentif Penguatkuasaan (BIP) kepada Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) dan Pegawai Kesihatan Persekitaran (PKP).

“Kita telah mohon sejak tahun 2018 dan baharu sahaja diluluskan. Ini akan meningkatkan lagi motivasi semua dan kini memohon kerajaan untuk mempertimbangkan untuk menambah jawatan bagi PKP dan PPKP.

Menurut beliau lagi, amat penting diwujudkan unit khas bagi tujuan pelaksanaan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang telah diwartakan dan akan dikuatkuasakan bermula 1 Oktober ini.

“Setakat ini, kita ada kira-kira 5,000 orang PKP dan PPKP. Kita mohon sejak tahun lalu lagi untuk menambah 1,000 perjawatan lagi dan berharap agar permohonan ini akan dapat dipertimbangkan oleh kerajaan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN