Abdul Hadi tidak ikhlas jalin semula kerjasama dengan UMNO - Wan Rosdy - Utusan Malaysia

Abdul Hadi tidak ikhlas jalin semula kerjasama dengan UMNO – Wan Rosdy

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang disifatkan tidak ikhlas apabila menyatakan kesediaan menjalinkan semula kerjasama dengan UMNO tanpa perlu melibatkan Presiden parti tersebut, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kenyataan Abdul Hadi itu hanya mementingkan parti tersebut sahaja dan beliau tidak nampak cadangan kerjasama terbabit dibuat atas dasar kepentingan Melayu serta Islam.

“Jika Abdul Hadi ikhlas kenapa hendak ketepikan Presiden kami. Adakah Abdul Hadi cuba memecahbelahkan UMNO yang semakin hari semakin kukuh?.

“UMNO ada ketuanya yang memimpin dan jika Pas berhasrat untuk mengadakan sebarang bentuk kerjasama, seharusnya perlu berbincang dan berunding dengan Presiden kami. Ini kerana, UMNO meletakkan institusi Presiden yang mengetuai parti untuk menentukan arah tuju parti.

“Saya melihat Presiden UMNO berpijak tidak berkisar, bercakap tidak beralih, berani menahan uji, setia tahan dicuba dan taat tahan dilipat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas Ke-70 di Kerdau, Temerloh semalam, Abdul Hadi dilaporkan sebagai berkata, Pas akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan UMNO kecuali Ahmad Zahid. dalam usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk kedua-dua parti itu pada 14 September 2019.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, UMNO sentiasa terbuka untuk mengadakan sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Pas.

“Cuma jika Pas benar-benar hendak kembali bekerjasama, kita boleh berunding tetapi dengan syarat tidak melibatkan Abdul Hadi. Pas jangan masa terdesak sahaja hendak mencari UMNO, hakikatnya sewaktu MN berlangsung, Pas tidak ikhlas pun untuk bersama UMNO.

“Oleh itu, sebagai Naib Presiden UMNO, saya tidak berminat membuat sebarang perundingan yang membelakangkan ketua saya serta melaga-lagakan ahli-ahli UMNO,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN