Abang Bas tunjuk 'mini love' - Utusan Malaysia

Abang Bas tunjuk ‘mini love’

ABANG Bas dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Batu Pahat hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Pemandu bas yang ditahan kerana memuat naik rakaman video penumpangnya yang merupakan murid sekolah rendah sebagai orang kesayangan atau ‘crush’ sempat memberikan ‘mini love’ semasa didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini. 

Tertuduh berusia 24 tahun yang memakai baju berwarna hitam tiba di mahkamah pada pukul 9.30 pagi bagi menghadapi pertuduhan memuat naik komen jelik berkaiataj video seorang kanak-kanak perempuan. 

Walau bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd. Salleh.

Dia didakwa menggunakan aplikasi TikTok dengan nama akaun ‘Abang Bas’ yang secara sedar membuat dan menghantar komen bersifat jelik terhadap video seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dengan kapsyen ‘hari ini crush buat homework’ diikuti tanda ‘love’ sambil memerhatinya’ di Jalan Aman 2, Taman Budiman, Parit Raja, di sini pada pukul 11 malam, 5 September lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 233(3) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurizzati Rozman, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Umar Zulkarnain.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Osman Affendi membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen Muar selari dengan Sesyen 165 Kanun Tatacara Jenayah dengan 10 Oktober depan ditetapkan sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Usai pendakwaan, ayah dan kakaknya dilihat memeluk ‘Ababg Bas’ dan suasana bertukar hiba kerana masing-masing menangis.

Sebelum kenderaan membawa ‘Abang Bas’ meninggalkan mahkamah, lelaki itu sempat memberikan ‘mini love’ kepada ahli keluarganya. 

Selasa lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Muar dengan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan amang seksual bukan fizikal di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Dia turut mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu dan dibenar diikat jamin sebanyak RM30,000, namun gagal membayarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya