Abang Bas 'crush' murid sekolah ditahan

Abang Bas ‘crush’ murid sekolah ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pemandu bas yang memuat naik rakaman video pelajar sekolah rendah dengan meletakkan kapsyen ‘crush’ dan ‘kesayangan’, ditahan di Simpang Renggam, awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, pemandu bas berusia 24 tahun itu ditahan pada pukul 2.57 pagi oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dengan pihaknya turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran berkenaan.

“Semalam, Polis Johor mengesahkan telah menerima laporan polis dan menjalankan siasatan berhubung penularan rakaman video memaparkan kanak-kanak dalam sebuah bas dipandu seorang lelaki.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan dan polis mengalu-alukan kerjasama daripada ibu bapa kanak-kanak yang terdapat dalam rakaman video itu supaya tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tular di aplikasi TikTok seorang pemandu bas sekolah lelaki yang menggelar seorang pelajar sekolah rendah perempuan di tempat duduk hadapan bas sebagai orang yang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’.

Pemilik akaun yang menggunakan nama ‘Abang Bas’ mempunyai lebih 600,000 pengikut memuat naik video ketika memandu bas sekolah, dengan wajah pelajar sekolah rendah jelas kelihatan di belakangnya.

Tindakan merakam foto atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa melanggar hak serta privasi mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Kumar berkata, pemandu bas itu kini disiasat mengikut Seksyen 15(a)(III) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana membawa maksud seksual mengikuti atau memerhati atau menghubungi seseorang kanak-kanak melalui apa sahaja cara secara berulang atau kerap.

“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001, kerana menyiarkan gambar kanak-kanak melalui apa-apa perantara elektronik.

“Bagi kedua-kedua kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali selain denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN