KUALA TERENGGANU: Sebanyak 749,800 benih ikan pelbagai spesies bernilai RM236,510 dilepaskan di 16 lokasi seluruh negeri ini sejak Januari hingga Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, program tersebut bertujuan mengukuhkan lagi keterjaminan makanan dan memulihara pelbagai spesies ikan di habitat asalnya.
Menurutnya, pelepasan benih ikan itu juga dapat meningkatkan tangkapan hasil nelayan dan melonjakkan industri perikanan rekreasi setempat.
“Jabatan telah menerima peruntukan sebanyak RM135,000 bagi perolehan benih ikan daripada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan pada tahun ini.
“Sebanyak 295,400 benih ikan terdiri daripada 21,500 ekor baung, lampam sungai (80,000), udang galah (190,000), siakap (3,300) dan kelah (600) dilepaskan di lokasi terpilih setakat ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Pemilihan lokasi pelepasan benih ikan itu berdasarkan beberapa kriteria antaranya kewujudan aktiviti penangkapan ikan oleh nelayan darat dan kawasan tersebut berpotensi dijadikan konservasi perikanan.
Beliau berkata, berdasarkan data pada 2022 dan 2023 menunjukkan peningkatan jumlah pendaratan perikanan darat sebanyak 14.7 peratus iaitu bersamaan 24.63 tan metrik manakala nilai borong bernilai RM763,282.33.
Menurutnya, peningkatan itu antara impak positif menerusi program pelepasan benih ikan yang dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Terengganu.
“Harapan kita agar komuniti setempat turut memainkan peranan memelihara ekosistem perairan darat agar usaha dilakukan kerajaan dapat dikecapi hasilnya.
“Orang awam yang memiliki ikan asing sebagai ikan peliharaan juga diingatkan agar tidak melepaskan ikan tersebut ke perairan umum kerana itu akan menyebabkan ikan-ikan sedia ada menjadi mangsa,” katanya.