662 huffaz bakal bekerja dengan syarikat aeroangkasa

662 huffaz bakal bekerja dengan syarikat aeroangkasa

AHMAD ZAHID Hamidi menyerahkan peranti tablet kepada maskot robot UniKL pada Majlis Perasmian Ekspo Institusi Pendidikan TVET @ KKDW 2024 di Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/HADI AB. MANAP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 662 hafiz al-Quran atau huffaz di bawah program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz kini sedang menjalani latihan dalam bidang penerbangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini 17 huffaz telah memperoleh pekerjaan dengan syarikat aeroangkasa terkemuka seperti Boeing dan Airbus.

Ujarnya, kejayaan itu sekali gus membuktikan bahawa masa depan golongan huffaz tidak lagi tertumpu dalam bidang agama, sebaliknya mampu menyumbang dalam pelbagai bidang profesional di peringkat global.

“Saya berbangga melihat Institut Teknologi Penerbangan Malaysia-Universiti Kuala Lumpur (UniKL-MIAT) dan Institut Kemahiran MARA (IKM) Lumut yang telah melahirkan ramai graduan TVET Tahfiz yang bukan sahaja mahir dalam teknologi, malah huffaz.

“Kini seramai 17 huffaz telah bekerja dalam bidang penerbangan, yang sedang dilatih seramai 622 dan semuanya kita yakin (akan mendapat tempat pekerjaan) kerana kita telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat kejuruteraan dalam bidang aeroangkasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Institusi Pendidikan TVET @ Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2024 di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, di bawah Program TVET Aras Tinggi (Hi-TVET) industri aeroangkasa, Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM) menawarkan peluang pekerjaan dan mendalami ilmu dengan Boeing dan Airbus.

Dalam pada itu, jelasnya, kerajaan juga menyediakan kemudahan peralatan latihan berteknologi terkini dengan membawa masuk enam buah kenderaan elektrik (EV) dan hidrogen.

“Kita akan bawa masuk enam unit jenama baharu kenderaan EV dan hidrogen baharu untuk dibuka (dikaji) pelajar-pelajar TVET.

“Kita tidak mahu teknologi lama, kita mahu TVET mempunyai bahan latihan yang boleh membantu pelajar berada di garisan hadapan dalam bidang automotif,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN