TANGKAK: Seramai 60 pengunjung berdepan detik cemas apabila terkandas di Kolam Puteri Air Terjun Gunung Ledang akibat hujan lebat, tengah tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Penguasa Bomba Rafiah Aziz, pihaknya menerima panggilan daripada pegawai penguat kuasa di Air Terjun Gunung Ledang tentang kejadian itu pada pukul 12.51 tengah hari tadi.
“Setibanya pihak bomba di tempat kejadian, terdapat seramai 60 orang awam yang terkandas akibat aliran deras air dari puncak Gunung Ledang akibat hujan lebat.
“Pihak bomba bertindak membawa kesemua mangsa menyeberangi sungai menggunakan tali. Kesemua 60 mangsa yang terdiri daripada orang dewasa selamat,”katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Rafiah menasihatkan orang ramai lebih peka dan berwaspada apabila mengunjungi tempat riadah atau perkelahan di sungai atau air terjun pada musim hujan.
“Ibu bapa dan penjaga harus cakna dan sentiasa melihat keadaan sekeliling tempat mandi-manda jika terdapat petanda awal kepala air, antaranya, air yang jernih menjadi keruh, daun-daun mati yang hanyut bertambah banyak dalam aliran air secara tiba-tiba dan sebagainya.
“Sentiasa siapkan diri dengan langkah-langkah keselamatan sebelum membawa ahli keluarga mengunjungi kawasan riadah sungai atau air terjun,” katanya sambil memberitahu operasi tersebut tamat pada pukul 3.18 petang. – UTUSAN