596 usahawan disasar terima kemudahan pembiayaan Mara di NS tahun ini - Utusan Malaysia

596 usahawan disasar terima kemudahan pembiayaan Mara di NS tahun ini

JALALUDDIN Alias (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek kemudahan pembiayaan perniagaan dan penyewaan premis kepada salah seorang penerima pada Program Pemerkasaan Wanita 2024 Peringkat Parlimen Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 596 orang usahawan di negeri ini disasar menerima kemudahan pembiayaan daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) Negeri Sembilan dengan jumlah peruntukkan yang disediakan sebanyak RM23 juta,

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, peruntukan itu melibatkan 16 skim pembiayaan perniagaan serta tiga geran padanan kepada usahawan Melayu dan bumiputera. 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi negeri menambah, setakat ini seramai 184 orang usahawan telah pun menerima kemudahan daripada Mara di negeri ini.

“Selain daripada kemudahan berbentuk kewangan, Mara juga telah menyediakan sebanyak 442 unit premis perniagaan di seluruh Negeri Sembilan pada kadar sewaan yang berpatutan. 

“Daripada penerima manfaat serta nilai kemudahan yang telah diluluskan oleh Mara Negeri Sembilan, penglibatan usahawan Wanita juga tidak dapat dinafikan adalah sangat aktif,” katanya selepas Merasmikan Program Pemerkasaan Wanita 2024 Peringkat Parlimen Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, mengikut rekod sehingga Ogos lalu, usahawan wanita yang menyewa di premis Mara adalah seramai 171 orang atau 38 peratus daripad keseluruhan lot premis yang disediakan.

“Seramai 72 usahawan wanita telah memperolehi kemudahan pembiayaan dengan nilai RM8.5 juta. Ini menunjukkan bahawa wanita juga adalah antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN