51 peratus golongan dewasa di Terengganu obesiti

51 peratus golongan dewasa di Terengganu obesiti

SEBAHAGIAN daripada peserta yang menyertai Sambutan Funwalk 10,000 'Steps & Wellness Hub Open Day' di Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Sebanyak 51 peratus daripada golongan dewasa di Terengganu mengalami masalah obesiti berdasarkan data hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, situasi itu sangat membimbangkan kerana terdapat peningkatan daripada 47.5 peratus pada tahun 2015 kepada 49 peratus pada tahun 2019.

Menurutnya, individu berusia 25 hingga 50 tahun adalah kelompok yang dikesan mengalami masalah obesiti yang tinggi di Terengganu setakat ini.

“Boleh dikatakan satu daripada dua orang dewasa di Terengganu berdepan masalah obesiti atau berat badan berlebihan ini.

“Kita khuatir kerana masalah obesiti ini turut meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan darah tinggi yang turut mencatatkan peningkatan kes setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Funwalk 10,000 ‘Steps & Wellness Hub Open Day’ di Klinik Kesihatan Seberang Takir, di sini hari ini.

Program tersebut disertai 1,000 individu termasuk warga JKNT dan komuniti setempat bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup sihat melalui senaman teratur serta pemakanan yang berkhasiat.

Dalam perkembangan lain, Kasemani memaklumkan Terengganu masih bebas daripada jangkitan cacar monyet (mpox) setakat ini.

“Alhamdulillah tiada sebarang kes direkodkan di Terengganu buat masa ini. Namun, JKNT telah membuat persiapan rapi dengan memberi taklimat kepada pegawai perubatan dan kakitangan di semua fasiliti kesihatan seluruh Terengganu mengenai bahaya jangkitan itu.

“Kita sentiasa memantau rapat perkembangan semasa dan saranan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN